fbpx

AADK lancar rumah perantaraan pertama di Malaysia bantu penagih dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sutekno pada sesi lawatan Rumah Perantaraan Wilayah di Jalan Raja Alang, hari ini. Foto oleh AMARULLAH ZAINUZZAMAN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memperkenalkan Perkhidmatan Rumah Perantaraan pertama di Jalan Raja Alang, di sini bagi membantu penagih menerima rawatan dan pemulihan.

Ketua Pengarahnya, Sutekno Ahmad Belon berkata, dengan fasiliti tersebut, ia mampu meningkatkan proses dan pengekalan kepulihan klien.

Beliau berkata, fasiliti berkenaan berkonsep lebih terbuka (community based) selain setiap klien boleh membawa ahli keluarga masing-masing.

“Kita mengalu-alukan supaya keluarga juga boleh dapatkan sesi bimbingan dan kaunseling kerana mereka ini adalah orang penting untuk beri sokongan kepada kepulihan.

“Kepulihan adalah proses sepanjang hayat dan fasiliti ini akan dikembangkan ke tempat lain berdasarkan ‘Post Continuum Care Program’ (PCCP),” katanya selepas sesi lawatan di Rumah Perantaraan Wilayah, di sini hari ini.

Sutekno berkata, sebanyak empat perkhidmatan utama ditawarkan antaranya saringan, penilaian serta kemasukan klien, rujukan dan advokasi.

“Selain itu, ada juga program rawatan dan pemulihan dalam komuniti (RPDK) menggunakan Model i-Pulih AADK meliputi komponen biologi, psikologi, sosial dan spritual serta menyediakan pemadanan minat dan kerjaya (SDS-AADK).

“Ia dilaksana dengan kaedah kemasukan sukarela, rujukan daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) melalui program hijrah atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rakan pintar dan rakan strategik AADK,” ujarnya.

Waktu operasi kemudahan yang mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu adalah pada hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam.

Bagi rujukan selepas waktu pejabat atau cuti umum boleh dibuat melalui Talian Hotlien Hello AADK 1-800-22-AADK (2235) atau WhatsApp di 019-626 2233. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI