KUALA LUMPUR – Seramai 135 individu termasuk 121 pemandu lori ditahan selepas didapati positif dadah dalam Op Bersepadu yang dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
Operasi itu turut melibatkan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara dari April hingga Jun lalu.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 44 operasi bersepadu dilaksanakan melibatkan 627 petugas.
“Sebanyak 713 ujian saringan air kencing telah dijalankan sepanjang operasi tersebut. Hasilnya, seramai 135 individu ditahan termasuk 121 pemandu lori dan 14 individu lain. Ini menunjukkan hampir 90 peratus daripada tangkapan melibatkan pemandu kenderaan perdagangan,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada pemandu treler, lori, bas ekspres, bas pekerja, bas sekolah serta kenderaan yang membawa bahan berbahaya.
Katanya, pemeriksaan turut melibatkan lesen, permit dan dokumen syarikat bagi memastikan hanya pemandu yang layak, kompeten serta bebas daripada pengaruh dadah dibenarkan berada di jalan raya.
Mohammed Hasbullah berkata, JSPT memandang serius penggunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan kerana ia boleh menjejaskan tumpuan, pertimbangan dan keupayaan mengawal kenderaan sekali gus meningkatkan risiko kemalangan maut.
Beliau berkata, daripada keseluruhan tangkapan itu, seramai 27 individu didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Dadah Berbahaya.
“Tiga lagi didakwa di bawah Seksyen 12(2), 101 orang mengikut Seksyen 15(1), tiga di bawah Seksyen 39A dan seorang lagi mengikut Seksyen 6 akta sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE














