Belum ada apa-apa perkembangan selepas lebih dua bulan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, berlaku.
Pembunuh kanak-kanak autistik itu masih bebas ke sana ke mari ketika pasukan polis bertungkus-lumus mencari pelbagai petunjuk dan bukti untuk menangkapnya.
Klimaks kes itu juga sudah semakin mengendur hingga membuatkan masyarakat sudah tidak memperkatakan mengenai lagi.
Melihatkan keadaan itu, muncul pula satu harapan baharu apabila Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor menawarkan ganjaran RM20,000 untuk maklumat hingga tertangkapnya suspek.
Bagaimanapun, wang sebanyak itu masih belum mampu untuk membawa kepada petunjuk baharu.
Semenjak ia diumumkan oleh Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri A. Thaiveegan pada 6 Februari lalu, polis masih belum membuat sebarang pengumuman mengenai hasilnya.
Sememangnya kita tahu bahawa bukan mudah untuk menjurus kepada si pelaku jika terjadinya kes yang terlalu rumit seperti pembunuhan Zayn Rayyan itu.
Kita masih ingat bagaimana ganjaran turut ditawarkan kepada pemberi maklumat untuk mendapatkan suspek pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang berlaku pada 20 Ogos 2007.
Dalam kes itu, bukan sahaja MCPF menawarkan ganjaran RM5,000, malah ada pihak sanggup memberikan RM10,000 kerana terlalu ingin melihat suspek terlibat dibawa ke muka pengadilan.
Bagaimanapun, sehingga ke hari ini si pelaku itu masih belum dapat dijejaki. Berdasarkan kepada situasi itu, kita dapat simpulkan bahawa suspek atau pihak yang mengetahui siapa pelakunya tidak tergoda dengan ganjaran tersebut.
Mereka sanggup menutup mulut atau mungkin sudah disogok dengan nilai yang lebih lagi daripada membocorkan maklumat kepada polis.
Tangkapan demi tangkapan yang dilakukan untuk membantu siasatan juga masih tidak dapat menjurus kepada pelaku sebenarnya.
Apa yang kita harapkan sekarang ini ialah agar berlakunya keajaiban supaya dibukakan pintu hati orang yang mempunyai maklumat itu untuk menyalurkannya kepada polis.
Tergamakkah anda melihat ahli keluarga kanak-kanak malang itu terus hidup dalam duka nestapa setiap kali mengenangkan anak yang mereka sayangi sudah hilang dari dunia ini?
Di media sosial pula, ibu ahli keluarga Zayn Rayyan acap kali memuat naik momen indah bersama Allahyarham. Begitu juga dengan ahli keluarga Nurin Jazlin yang sehingga kini berharap agar pembunuh anak mereka diberkas.
Tampillah dengan rasa tanggungjawab sebagai seorang insan kerana tindakan anda itu bukan sahaja melegakan hati ibu bapa Zayn Rayyan dan Nurin Jazlin, tetapi mungkin juga melepaskan anda ketika berada di mahkamah pengadilan Allah SWT.
Ingatlah, segala dosa yang dilakukan akan berbalik kepada kita suatu hari nanti seperti banyak yang berlaku ketika ini.















