fbpx

‘Petisyen tiada kena mengena isu kesucian Islam, kedudukan mahkamah syariah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Maimun (kiri).

PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan, petisyen yang dikemukakan seorang peguam dan anaknya tiada kena mengena dengan isu kesucian agama Islam atau kedudukan mahkamah syariah di negara ini.

Menurut beliau, pihak yang mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dan mahkamah sivil yang membenarkan petisyen mereka, tidak boleh dianggap menentang Allah SWT.

Tengku Maimun berkata, peruntukan yang dipertikaikan itu bukan ditetapkan oleh Allah SWT, sebaliknya digubal oleh Badan Perundangan Negeri Kelantan.

“Mahkamah syariah atau undang-undang Islam di Malaysia tidak akan pada bila-bila masa berkubur atau diletakkan ‘batu nisan’ seperti yang didakwa peguam Yusfarizal Yussoff.

“Ditegaskan sekali lagi bahawa apa yang dicabar dalam petisyen bukanlah kedudukan undang-undang Syariah kerana dakwaan pempetisyen adalah khusus terhadap tindakan Badan Perundangan Negeri Kelantan yang didakwanya melangkaui kuasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berpendirian, tidak timbul isu mahkamah sivil tidak mempertahankan kedudukan agama Islam atau tidak memperkasakan mahkamah syariah.

Mengulas lanjut dalam penghakimannya itu, Tengku Maimun turut menyatakan terdapat tiga jenis hukuman di bawah undang-undang Islam iaitu hudud, qisas dan takzir.

Jelas beliau Ketua Hakim mahkamah syariah setakat ini tidak melaksanakan hukuman hudud atau qisas sebaliknya hanya melibatkan takzir.

“Tiada bezanya mahkamah syariah dan mahkamah sivil kerana kedua-duanya melaksanakan hukum takzir. Bezanya, mahkamah syariah bersumberkan undang-undang dan diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri manakala mahkamah sivil mengikut undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen,” ujarnya

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim yang Tengku Maimun dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, 26, selaku pempetisyen bagi mencabar peruntukkan enakmen tersebut.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu.

Panel itu turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai panel, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P. Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI