fbpx

Felda perlu fokus perniagaan teras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari berucap pada Simposium Felda 2024 di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu kembali memberi tumpuan terhadap perniagaan terasnya dalam penge­­l­ua­ran kelapa sawit berbanding fokus kepada aktiviti perniagaan lain yang bukan sebahagian daripada kepakarannya.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Felda yang memiliki 800,000 hektar tanah mampu menjadi pengeluar minyak sawit mentah terbesar dan organisasi berkenaan perlu melihat untuk tempoh jangka panjang bagaimana untuk mengaktifkan tanah yang luas itu bagi menghasilkan manfaat kepada negara.

“Kita kena fokus dan tak boleh lagi Felda ini terlibat dalam macam-macam benda, mahu buat gula, hotel, bukan tak boleh, kita buat benda-benda itu bila kita ada tunai tambahan.

“Tapi kita ada hutang dan (jika) kita tak tumpukan pada perniagaan teras, kita akan berdepan banyak masalah apabila hutang-hutang ini perlu dibayar, akhirnya kita terpaksa jual balik hotel, tengah cari siapa yang nak beli kilang gula.

“Sebab, itu bukan kepakaran kita, kepakaran kita ialah kelapa sawit dan Felda ini memang terbukti merupakan pengendali tanaman kelapa sawit yang pa­ling efisien dahulu. Hari ini orang lain yang datang kemudian jadi juara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Menara Felda di sini selepas hadir merasmikan Simposium Felda 2024, yang diadakan bagi mengetengahkan usul merevolusikan pembangunan ekonomi bumiputera.

Usul berkenaan kemudiannya bakal dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac ini.

Johari menambah, sektor perladangan perlu dilihat sebagai perniagaan, apatah lagi dunia kini berdepan masalah keselamatan makanan dan tanah Felda yang luas merupakan suatu bentuk modal yang tiada bandingannya.

“Kalau dahulu Felda tiada kepakaran, hari ini generasi ke­dua, ketiga dan keempat Felda ramai yang memiliki kelayakan, malah sesetengah daripada mereka ini menguruskan ladang-ladang swasta yang lebih efisien.

“Kenapa bukan Felda? Jadi kita perlu bagi ruang kepada mereka, benarkan mereka uruskan ladang ini sebagai organisasi yang berteraskan keuntungan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI