PARIS – Pemain sensasi Paris Saint-Germain (PSG), Ousmane Dembele memberi kelegaan besar buat pasukan apabila mengesahkan dirinya cergas untuk berdepan Arsenal pada final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi Ahad nanti.
Sebagai rekod, Dembele sebelum ini mencetuskan kerisauan selepas dikeluarkan ketika separuh masa pertama pada aksi Ligue 1 bertemu Paris pada 17 Mei lalu akibat masalah kecederaan.
Bagaimanapun, Dembele menegaskan kecederaan dialaminya tidak serius dan memilih untuk tidak mengambil risiko menjelang aksi final UCL nanti.
“Tahap kecergasan saya lebih baik berbanding minggu lalu. Saya cuma sedikit terkejut, tetapi doktor beritahu tiada apa yang perlu dibimbangkan.
“Saya hanya tidak selesa di bahagian kaki dan saya tidak mahu mengambil risiko. Saya pasti akan kembali bermain pada aksi final nanti,” katanya.
Berita itu pastinya memberi tonik tambahan buat pengendali PSG, Luis Enrique dalam usaha menjadi kelab kedua selepas Real Madrid yang berjaya mempertahankan kejuaraan trofi UCL selepas menang tahun lalu.
Namun, situasi berbeza melibatkan Achraf Hakimi apabila pertahanan kanan itu masih bergelut dengan kecederaan dan dijangka terlepas peluang untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.
Pemain kebangsaan Maghribi itu dilaporkan hanya dijangka kembali menjalani latihan penuh bermula semalam selepas disisihkan lebih sebulan ekoran kecederaan serius yang dialami bulan lepas. – AGENSI














