PETALING JAYA – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan UMNO sebagai sebuah parti yang wajar dibanggakan kerana kekal utuh dan relevan selepas menjangkau usia 80 tahun.
Beliau berkata, kejayaan UMNO bertahan sehingga hari ini adalah hasil perjuangan generasi terdahulu yang membina parti itu dengan asas dan fundamental yang kukuh.
“Hari ini, saya berasa bangga menjadi seorang ahli UMNO, sebuah parti yang telah banyak berjasa kepada negara.
“Kejayaan kita mengekalkan UMNO selama 80 tahun adalah hasil perjuangan para pejuang terdahulu yang telah membina parti ini dengan asas yang sangat kuat sehingga mampu bertahan hingga ke generasi hari ini,” katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun UMNO ke-80 hari ini.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu, walaupun UMNO pernah melalui pelbagai fasa turun naik dalam kekuatan politik, parti berkenaan tetap kukuh dan terus hidup.
Katanya, seluruh ahli UMNO juga memikul tanggungjawab untuk memastikan parti itu terus mendapat sokongan di semua peringkat termasuk bahagian dan cawangan.
“Ahli UMNO perlu terus bersatu bagi memastikan parti ini kekal relevan dan terus memainkan peranan sebagai sebuah wadah perjuangan yang boleh diwariskan kepada generasi akan datang,” ujarnya.
Beliau turut menyeru seluruh ahli parti untuk terus berpegang kepada semangat “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat” demi memperkukuh perjuangan UMNO pada masa hadapan.
Johari turut mengucapkan selamat menyambut ulang tahun UMNO ke-80 kepada seluruh ahli parti di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE.














