MEKAH – Menjelang kemuncak ibadah haji yang menghimpunkan kira-kira dua juta umat, jemaah Malaysia kini diingatkan supaya memberi tumpuan penuh terhadap persiapan fizikal, mental dan rohani bagi menghadapi cabaran masyair.
Dalam tempoh berbaki seminggu itu, jemaah disaran mengurangkan aktiviti luar, mendapatkan rehat secukupnya dan memastikan pengambilan air mencukupi bagi mengelakkan keletihan serta risiko kesihatan akibat cuaca panas melampau di Mekah.
Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr. Mohamad Zamri Harun berkata, langkah itu penting memandangkan cuaca panas melampau di tanah suci ketika ini boleh meningkatkan risiko dehidrasi, keletihan haba dan strok haba dalam kalangan jemaah.
Katanya, tempoh seminggu terakhir sebelum kemuncak ibadah haji perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memulihkan tenaga dan memperkukuh fizikal serta mental.
“Kita mahu semua fokus untuk berwukuf di Arafah. Jadi seminggu terakhir ini, kurangkan aktiviti, banyakkan rehat dan minum air secukupnya.
“Hal ini kerana sasaran utama kami ialah memastikan semua jemaah dapat selesai haji dan memperoleh haji mabrur,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dianggarkan 2.5 juta umat Islam bakal berhimpun di Arafah yang merupakan hari kemuncak haji sebelum bergerak ke Muzdalifah dan Mina untuk menyempurnakan ibadah haji pada 26 Mei ini.
Dalam pada itu, Ketua Pakar Rujuk Haji, Prof Madya Dr Luqman Abdullah berkata, jemaah perlu menekankan kepentingan persediaan rohani dengan memperbanyakkan ibadah, zikir dan doa menjelang hari wukuf.
“Kita perlu melatih diri untuk banyak beribadat kepada Allah kerana waktu wukuf ialah masa terbaik mendekatkan diri kepadanya.
“Lazimilah zikir yang biasa diamalkan. Jika kurang pasti, boleh bertanya kepada pembimbing haji tentang zikir atau amalan yang boleh dilakukan. Kalau tidak tahu sekalipun, banyakkan bertahlil dan beristighfar,” katanya.
Menurut Luqman, kesihatan mental dan fizikal amat penting memandangkan suasana ketika itu tidak sama seperti hari lain khususnya cuaca panas di tanah suci.
Katanya, ketahanan fizikal dan mental mesti diperkukuh sejak awal memandangkan jemaah akan berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina selama kira-kira dua hingga tiga hari.-KOSMO! ONLINE














