LUMUT – Kerajaan menghantar notis tuntutan bernilai lebih RM1 bilion kepada syarikat pertahanan Norway hari ini susulan tindakan negara berkenaan membuat keputusan secara unilateral untuk menyekat penghantaran misil anti kapal (NSM) kepada Malaysia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tuntutan berkenaan meliputi kos langsung dan tidak langsung berkaitan kontrak perolehan peluru berpandu berkenaan.
Katanya, kerajaan telah melunaskan 95 peratus ataupun kira-kira RM583 juta pembayaran kontrak bernilai RM634 juta berkenaan kepada syarikat pembekal di Norway.
“Pelanggaran ataupun pembatalan kontrak seperti ini bukanlah satu perkara yang selalu berlaku bagi kita.
“Apatah lagi kita, Malaysia, telah memenuhi segala obligasi kontrak dan kita telah membuat hampir keseluruhan bayaran yang dipersetujui. Kita dah bayar 95 peratus daripada nilai kontrak,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke Limbungan Lumut Naval Shipyard (Lunas) di Pangkalan TLDM bagi melihat perkembangan terkini pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).
Pembatalan perolehan misil itu menjejaskan proses pembinaan LCS dan kapal kelas frigat Kapal Diraja (KD) Lekiu dan KD Jebat.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, tindakan Norway membatalkan kontrak perolehan peluru berpandu NSM tersebut menghakis kepercayaan Malaysia terhadap negara berkenaan dan menimbulkan keraguan ke atas negara Barat yang lain dalam soal perolehan pertahanan.
Beliau berkata, tindakan Norway tersebut berkemungkinan dilakukan oleh negara-negara lain, justeru apa yang berlaku kepada Malaysia bukanlah isu perolehan pertahanan semata-mata.
“Ia mencerminkan satu masalah yang lebih besar iaitu hakisan kepercayaan dalam hubungan antarabangsa. Maknanya antara satu negara dan satu negara dah susut kepercayaan dan keyakinan (antara satu sama lain). Ini sebenarnya kesan tindakan Norway terhadap kita dalam soal ini,” katanya.
Beliau berkata, Norway memberi alasan pembatalan kontrak perolehan misil tersebut adalah ekoran dasar baharu negara tersebut yang hanya akan mengeksport teknologi kepada negara-negara di dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan yang dianggap sekutu sahaja.
Justeru, beliau berkata, kementeriannya tidak akan berurusan lagi dengan negara tersebut bagi sebarang perolehan pertahanan dan berharap negara lain terutamanya ASEAN turut mengambil iktibar dengan perkara berkenaan.
“Kita harap negara-negara seperti ASEAN dan negara yang bukan menjadi sekutu rapat Norway, ambil pengalaman serta pengajaran yang dihadapi oleh Malaysia supaya mereka tak beli dan berurusan dengan Norway,” katanya.
Penghantaran NSM pada asalnya dijadualkan pada November 2025 namun ia dijadualkan semula pada 13 Januari lalu, dengan penghantaran misil itu dijangka tiba di Malaysia pada 3 Mac.
Bagaimanapun, pada 4 Februari lalu, syarikat pertahanan yang berpangkalan di Norway tersebut memaklumkan bahawa kedua-dua perolehan melibatkan NSM dan ‘launcher’ telah digantung serta-merta oleh negara berkenaan.
Pada 22 April lalu, syarikat pertahanan berkenaan memaklumkan bahawa sekatan lesen eksport ke Malaysia adalah bersifat kekal. – KOSMO! ONLINE














