Gambar hiasan

Scammer tonton drama belajar cara pujuk mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bijak bermain dengan emosi mangsa dan diselang seli dengan janji-janji manis antara kelebihan ­dimiliki scammer yang menyebabkan ­lebih ramai individu ditipu ­sehingga kerugian ratusan juta ringgit.

Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, selain itu kata-kata pujuk rayu yang diluahkan scammer turut menyebabkan mangsa terus ‘cair’ sehingga ada yang ditipu berulang kali.

“Mereka (scammer) ini sentiasa melatih diri untuk mahir dalam meyakinkan orang ramai menerusi taktik iklan, hebahan, poster, jalinan komunikasi sama ada menerusi Telegram, Whats­App dan Facebook.

“Tipu helah yang dibuat adalah dirancang secara teliti termasuklah membeli jiwa mangsa dengan menawarkan pulangan pelaburan berlipat kali ganda bagi mengaburi pemikiran mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambah Siti Fatimah, scammer juga bijak mencari ­ruang dan peluang untuk menipu serta mereka sentiasa melihat kepada kaedah-kaedah baharu yang boleh digunakan untuk menjerat mangsa.

“Scammer juga arif dari segi cara gaya percakapan mangsa yang boleh dimanipulasi.

“Contohnya mangsa yang melayan panggilan, yang bersedia untuk meneruskan perbualan dan panggilan adalah petanda bahawa mangsa boleh diperdaya,” ujarnya.

Selain itu, katanya, ­dialog dalam filem, drama serta perkongsian di media sosial menjadi antara medium untuk scammer mempelajari ilmu memujuk mangsa.

“Dunia hari ini, semuanya di hujung jari. Apa sahaja ilmu yang dicari memang tersedia dalam pelbagai medium penyampaian.

“Pengaruh media sosial, filem dan aplikasi digital memudahkan lagi agihan tugas serta taktik pihak scammer.

“Adalah mustahil scammer ini bergerak secara solo dan apabila ia berkumpulan sudah pasti mempunyai latihan yang tersendiri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Siti Fatimah turut mengingatkan orang ramai untuk meletakkan satu pegangan bahawa tidak ada perkara mudah dalam dunia ini terutama melibatkan penjanaan kewangan.

“Pertama perlu sedar dan akur bahawa tidak ada perkara mudah dalam dunia hari ini. Semuanya perlukan usaha dan ­kesahihan.

“Kematangan emosi yang lemah menyebabkan mangsa mudah dimanipulasi dengan pelbagai helah oleh scammer,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan seorang wanita menghabiskan wang simpanan serta barang kemas miliknya berjumlah RM100,000 selepas terpengaruh dengan tawaran menarik yang dijanjikan oleh sebuah syarikat pelaburan dengan keuntungan berlipat kali ganda.

Mangsa berusia lingkungan 50-an itu juga dikatakan terlalu taksub untuk menyertai skim pelaburan sekali pun sedar dia telah menjadi mangsa scammer.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN