fbpx

Utamakan graduan Malaysia isi kekosongan tenaga mahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan Mat.

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah perlaksanaan dasar yang membenarkan pelajar asing bekerja di Malaysia bagi menampung kekurangan tenaga kerja mahir.

Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, tindakan tersebut bukan sahaja menutup peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat tempatan, ia juga bakal merugikan negara.

Adnan berkata, pelbagai program telah diwujudkan oleh institusi pengajian tinggi tempatan dengan nilai pelaburan besar bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi selaras dengan aspirasi kerajaan.

“Negara kita sudah berada di landasan yang tepat dalam melahirkan graduan tempatan yang berkemahiran tinggi dan tidak lagi perlu bergantung kepada tenaga kerja asing.

“Tindakan membenarkan pelajar asing untuk mengisi peluang pekerjaan di sektor teknologi tinggi di Malaysia ibarat kata pepatah kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan,” katanya.

Adnan berkata, tidak adil bagi pelajar tempatan sekiranya kerajaan membenarkan pelajar asing untuk menerokai peluang pekerjaan yang sebenarnya boleh diisi oleh rakyat tempatan sendiri.

“Cadangan tersebut boleh mengakibatkan graduan tempatan menerima gaji yang lebih rendah selain meningkatkan kadar pengangguran rakyat tempatan pada masa hadapan.

“Permasalahan utama yang berlaku ketika ini adalah ramai pekerja mahir tempatan yang berhijrah ke luar negara dan bekerja di sana kerana ditawarkan skim gaji yang lebih munasabah dan berbaloi,” katanya.

Tambah beliau, sikap pilih kasih atau ‘double standard’ yang berlaku sekarang mengakibatkan ramai rakyat Malaysia memilih untuk berhijrah ke luar negara daripada berkhidmat di tanah air sendiri.

“Majikan tempatan lebih sanggup membayar gaji yang tinggi kepada pekera asing sedangkan kualiti pekerja tempatan adalah lebih baik.

“Ada majikan sanggup bayar sehingga RM4,000 sebulan kepada pekerja mahir asing tetapi untuk pekerja mahir tempatan mereka tawarkan gaji permulaan dibawah RM2,000,” katanya.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, kerajaan perlu menguatkuasakan gaji minimum yang lebih berbaloi kepada pekerja bekemahiran tinggi tempatan bagi menyokong dasar-dasar pembangunan sumber manusia yang dilaksanakan oleh institusi pengajian tinggi tempatan.

“Tiada gunanya jika kita melahirkan sumber manusia yang berkemahiran tinggi tetapi pasaran pekerjaan untuk mereka tidak menawarkan gaji yang munasabah.

“Adalah tidak adil jika gaji minimum yang ditawarkan kepada pekerja mahir tempatan rendah tetapi dalam masa yang sama majikan di luar sana sanggup mengambil pekerja asing dengan skim gaji yang lebih tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI