BERLIN – Penyerang Bayern Munich, Harry Kane terus mengukuhkan statusnya sebagai calon utama Ballon d’Or selepas mempamerkan aksi luar biasa untuk membantu pasukannya menjulang Piala Jerman awal pagi semalam.
Bintang England itu meledak hatrik ketika Bayern membelasah VfB Stuttgart 3-0 pada aksi final sekali gus melengkapkan kejayaan ‘double’ domestik selepas turut menjuarai Bundesliga musim ini.
Kemenangan tersebut menyaksikan Bayern meraih gelaran Piala Jerman ke-21 dalam sejarah kelab selain mengukuhkan dominasi mereka dalam saingan bola sepak Jerman.
Bagaimanapun, tumpuan utama sekali lagi terarah kepada Kane yang terus membuktikan ketajamannya sebagai antara penyerang terbaik dunia ketika ini.
Pengurus Bayern, Vincent Kompany mengakui kagum dengan kemampuan dimiliki pemain berusia 32 tahun itu yang terus menjaringkan gol secara konsisten sepanjang musim.
“Saya gembira dan bangga dengan pemain. Kami kekal tenang selepas separuh masa pertama dan berjaya meningkatkan permainan. Apa yang dilakukan pemain kali ini memang luar biasa.
“Kadangkala sebagai jurulatih, saya hanya berdiri dan mengagumi mereka. Kane juga tampil dengan aksi hebat,” katanya.
Kane menamatkan musim dengan 61 gol dalam semua pertandingan daripada 51 penampilan termasuk 36 gol dalam Bundesliga, 14 gol Liga Juara-Juara, 10 gol Piala Jerman dan satu jaringan di Piala Super Jerman.
Penyerang England itu juga muncul penjaring terbanyak bagi Bundesliga dan Piala Jerman selain hampir pasti merangkul Kasut Emas Eropah musim ini.
Secara keseluruhan, Kane kini sudah meledak 146 gol dalam 147 penampilan bersama Bayern sejak menyertai kelab gergasi Jerman itu, sekali gus mengukuhkan lagi reputasinya sebagai antara penyerang paling prolifik dunia ketika ini. – AGENSI














