PETALING JAYA – “Masuk sekejap, habis untuk komitmen. Gaji cuma singgah, tak pernah sempat rasa memiliki.”
Itu realiti yang dikongsikan Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu hantaran di Facebook yang menyentuh kehidupan ramai rakyat ketika ini apabila gaji bulanan seolah-olah hanya ‘singgah’ sebelum habis digunakan untuk pelbagai komitmen hidup.
Menurut PHM, ramai individu kini berdepan tekanan kewangan apabila pendapatan diterima terus dibahagikan untuk pembayaran rumah, kereta, bil utiliti, persekolahan anak, hutang lama dan perbelanjaan dapur sehingga hampir tiada baki buat kegunaan diri sendiri.
“Bukan semua orang yang sesak itu boros. Bukan semua orang yang tak menyimpan itu tak pandai urus duit. Kadang-kadang hidup memang sedang mahal dan tanggungjawab datang lebih laju daripada rezeki yang masuk,” katanya.
Perkongsian PHM turut menggambarkan beban ditanggung pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan bujang, pasangan berkahwin, ibu bapa serta mereka yang menjaga orang tua.
“Yang bujang terasa. Yang berkahwin terasa. Yang ada anak lebih terasa. Yang jaga ibu ayah pun diam-diam menahan. Masing-masing ada komitmen yang orang lain tak nampak.
“Cuma mungkin yang duduk di atas sana susah nak faham. Mereka hanya nampak angka atas kertas. Tapi orang biasa yang rasa setiap kali bayar di kaunter, setiap kali buka aplikasi bank, setiap kali baki akaun tinggal cukup-cukup makan,” jelas PHM.
Hantaran itu sekali gus mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang rata-ratanya berkongsi pengalaman masing-masing dan mengakui kos sara hidup ketika ini semakin mencabar.
“Dah selesai bayar apa yang patut semua, tinggal lah gaji asas untuk belanja makan harian untuk sebulan. Duduk JB (Johor Bahru) ini keras. Awal bulan nampak lagi ribu-ribu. Ingat boleh simpan, habis juga buat makan untuk diri sendiri. Tak sempat nak menyimpan,” kongsi Ziarul Hisham.
“Gaji suami dapat bulan-bulan RM1,500 atau RM1,400 selepas ptong EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan (hutang) pinjam . Sakit terkapai-kapai nak hadap kalau barang dapur habis, susu, pampers (lampin pakai buang) anak tinggal sikit. Pinjam sana sini kadang dapat kadang tak. Ulang benda sama nak kena hadap,” luah Anna. – KOSMO! ONLINE














