Menjelangnya bulan Disember, negeri-negeri di Pantai Timur tanah air sudah dijangka akan mengalami hujan lebat yang kritikal.
Ia disebabkan peralihan angin monsun yang membawa taburan hujan tinggi serta angin di kawasan itu yang dikatakan sebagai musim tengkujuh akhir tahun.
Bagaimanapun, hingga awal tahun ini masih ada negeri terutama di Pantai Timur yang terjejas akibat banjir ekoran hujan lebat berpanjangan.
Bercakap mengenai situasi hujan lebat dan banjir awal tahun itu, Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, banjir awal tahun atau gelombang keempat musim tengkujuh ini bukan suatu luar biasa kerana ia disebabkan angin sejuk dari utara (luruhan sejuk) meniup dengan kuat.
“Luruhan sejuk ini sangat kuat, mempengaruhi bukan saja negara kita, malah negara-negara jiran seperti Vietnam dan ibu negerinya, Hanoi yang turut dilanda gelombang sejuk. Sebenarnya, banjir tahun awal ini bukan perkara luar biasa. Hal ini kerana musim Monsun Timur Laut biasanya bermula pada November dan berakhir sekitar Februari,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai situasi hujan lebat yang kerap melanda negara ini, beliau berkata, situasi itu disebabkan corak angin yang dominan merentasi negara ini yang mana angin yang berasal dari benua Asia merentasi Laut China Selatan sebelum tibanya di destinasi akhirnya, Malaysia.
Ujar beliau, berikutan kondisi-kondisi sedemikian ia membawa hujan lebat berpanjangan mudah terutamanya di kawasan Pantai Timur Semenanjung menyebabkan banjir besar berlaku.
Minggu lalu, media melaporkan banjir gelombang keempat yang melanda Terengganu menjejaskan 1,067 mangsa daripada 312 keluarga.
Sebanyak 13 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di empat daerah iaitu Setiu, Besut, Dungun dan Hulu Terengganu.
Terdahulu Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan bagi negeri-negeri di Pantai Timur iaitu melibatkan Kelantan dan Terengganu.
MetMalaysia dalam laporan cuacanya memaklumkan, keadaan hujan lebat juga dijangka berterusan di sekitar kawasan berkenaan untuk sepanjang hari.
Sebelum ini, pada akhir Disember lalu, situasi banjir di Kelantan mencatat situasi buruk apabila seramai 12,577 mangsa sedang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 10,279 orang.
Jumlah itu melibatkan 3,860 buah keluarga yang ditempatkan di 82 PPS di tujuh daerah.
Sekreteriat Pengurusan Bencana negeri dalam satu kenyataan berkata, tujuh daerah yang terjejas dengan banjir ialah Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Machang, Kuala Krai, Gua Musang dan Kota Bharu.
Daerah Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa banjir paling tinggi iaitu sebanyak 7,210 orang diikuti Kuala Krai (2,566), Tanah Merah (1,783), Machang (462), Gua Musang (271), Jeli (255) dan Kota Bharu (25).
Sejurus selepas Kelantan, banjir kemudian melanda pula daerah Kota Tinggi, Johor.
Ekoran paras air yang makin tinggi turut menenggelamkan kawasan pusat bandar yang tidak terjejas menyebabkan peniaga mula memindahkan barangan dari premis mereka.














