fbpx

Tanah runtuh: SAR cari tiga lagi mangsa disambung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Md. Gezani (kanan) menerangkan operasi kejadian tanah runtuh di Kampung Batu 54, Kampung Raja, Cameron Highlands di Hari kedua yang melibatkan lima warga Myanmar. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH / KOSMO!

CAMERON HIGHLANDS – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi pekerja kebun sayur warga Myanmar yang hilang dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Batu 59, Kampung Raja di sini semalam, disambung hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Md. Gezani Md. Ghazi berkata, operasi itu bermula pada pukul 8.42 pagi dengan kekuatan 86 anggota penyelamat di lokasi runtuhan.

Katanya, kerja-kerja pencarian turut dibantu dua anjing daripada Unit Anjing Pengesan (K9) bomba iaitu Frankie dan Pop.

“Tumpuan pencarian masih di lokasi sama iaitu di sektor B dan C berdasarkan penemuan dua mayat semalam, selain kita turut memantau dua sektor lain.

“Setakat ini, operasi masih dijalankan secara manual menggunakan cangkul dan penyodok. Bagi memudahkan operasi, kita akan cuba membawa masuk jentera berantai untuk membuka laluan baharu ke lokasi kejadian.

“Laluan baharu itu nanti akan melalui kebun-kebun sayur dan kita telah mendapat kebenaran polis bagi tujuan tersebut,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pemantauan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mendapati tiada pergerakan tanah dikesan di lokasi runtuhan berkenaan.

Dalam pada itu, ditanya sama ada alat pengesan khas Ground Penetrating Radar (GPR) atau radar menembusi tanah bakal digunakan bagi mengesan baki tiga lagi mangsa, beliau berkata, tiada keperluan menggunakan alat itu setakat ini.

“Cuaca pagi ini agak baik. Alat Ground Penetrating Radar-GPR akan digunakan sekiranya perlu,” katanya.

Kejadian tanah runtuh di kawasan kebun sayur itu dilaporkan kepada pihak polis pada pukul 2.10 pagi membabitkan dua buah rumah pekerja warga asing yang didiami lima orang termasuk seorang wanita.

Mangsa yang terlibat dikenali sebagai Shing Lan Har, 56, bersama anak lelaki, Haphey, 36, serta menantu perempuan, Om Myue, 38, serta dua lelaki lain iaitu Shing Aung, 39, dan Thang Moung, 25.

Mayat mangsa pertama, Haphey, 36, dijumpai pada pukul 5.40 pagi manakala mangsa kedua yang belum dikenal pasti identiti ditemui pada pukul 12.40 tengah hari. Kedua-dua mangsa adalah lelaki. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI