KLANG – Syarikat pelancongan, Hwajing Travel & Tours (Hwajing) dan kapal persiaran milik penuh Carnival Corporation & plc, Costa Cruises Lines iaitu Costa Cruises dari Itali merintis potensi besar dalam industri pelancongan Islamik yang belum diterokai oleh mana-mana pihak sebelum ini.
Kerjasama tersebut telah memberi peluang kepada pelancong beragama Islam untuk menjamu selera di restoran di atas kapal tersebut yang bertaraf halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut Pengarah Urusan Hwajing, Kenny Cheong, idea untuk mewujudkan restoran halal di kapal Costa Cruises timbul disebabkan kebanyakan kapal antarabangsa tiada restoran halal dan ia menyukarkan pelancong-pelancong beragama Islam.

“Kami telah melaksanakan penyesuaian menyeluruh terhadap perkhidmatan dan tawarannya untuk memenuhi keperluan dan keutamaan pengembara Islam.
“Ini adalah untuk memastikan kami menawarkan pengalaman yang unik, mendalam dan inklusif untuk semua penumpang.
“Hasilnya, pengalaman pelayaran yang disesuaikan ini telah menggabungkan unsur-unsur riadah, amal dan halalan toyyiban ke dalam ‘fabrik’ pelayaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kerjasama antara Hwajing dan Costa Cruises di atas kapal persiaran, Costa Serena di Port Klang Cruise Terminal (PKCT), Pulau Indah, Pelabuhan Klang di sini baru-baru ini.
Restoran Vesta menawarkan hidangan makanan dan minuman yang menyelerakan dengan menampilkan 40 peratus hidangan Asia, seterusnya menjanjikan gabungan perisa yang menarik, termasuk menu sorotan seperti stik Tomahawk, gelato durian Musang King dan pencuci mulut yang menarik.
Cheong menerangkan, perkhidmatan yang diuruskan oleh Intratama Travel Consultant & Tours itu akan membolehkan penumpang diberi peluang melibatkan diri dalam kuliah dan bengkel Islamik, sekali gus meningkatkan pengalaman pelayaran keseluruhan mereka merangkumi aspek hubungan budaya dan rohani dengan lebih mendalam,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama dengan Costa Cruises, Cheong menjelaskan, pihaknya terus berhubungan dan mengekalkan hubungan kerja yang erat dengan Costa Cruises meskipun dalam tempoh pandemik lalu.
“Apabila China menutup pelabuhan pada tahun 2020, kami tetap berinteraksi dengan harapan agar Costa Cruises dapat berlabuh di Malaysia.
“Namun, pada ketika itu, ia tidak menjadi kenyataan.
“Justeru, sebaik sahaja sempadan antarabangsa dibuka semula, kami segera membawanya ke sini,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pilihan strategik Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama Costa Serena yang memfokus kepada pelayaran Islamik, meletakkan Malaysia sebagai antara hab maritim antarabangsa.
Tambah Cheong, usaha ini akan melonjakkan ekonomi negara menerusi ketibaan pelanggan antarabangsa yang pelbagai termasuk para pelancong dari negara Islam. -KOSMO! ONLINE















