fbpx

Enam termasuk budak 13 tahun diberkas, aktif samun warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

ALOR GAJAH – Polis memberkas enam lelaki termasuk seorang pelajar sekolah selepas disyaki terlibat dalam tiga kes samun bersenjata terhadap pekerja kebun warga asing di sekitar daerah ini, bulan lalu.

Kesemua suspek berusia 13 sehingga 27 tahun itu diberkas dalam tiga serbuan berasingan di Simpang Ampat di sini dan di Sik, Kedah oleh pasukan daripada Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Alor Gajah pada 15 dan 16 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, laporan kes pertama diterima pada 4 Disember lalu sekitar pukul 1.30 pagi apabila tiga mangsa warga Bangladesh mendakwa disamun lima lelaki bersenjatakan parang dan besi di rumah kongsi sebuah kebun sayur, di Kampung Padang Kambing.

Katanya, ketika kejadian kesemua mangsa dikatakan sedang tidur sebelum dikejutkan oleh suspek yang menutup muka dengan baju.

“Dalam serangan itu, suspek telah memukul seorang mangsa sehingga cedera menggunakan besi dan melarikan wang tunai sebanyak RM1,500 serta sebuah telefon bimbit.

“Pada hari sama pada pukul 4 petang, polis menerima laporan daripada seorang lelaki Bangladesh memberitahu dia bersama dua rakannya telah disamun lapan lelaki bersenjatakan parang serta buluh di rumah kongsi di sebuah kebun sayur di Melekek,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Tambahnya, suspek telah melarikan wang tunai sebanyak RM7,200 dan dua buah telefon bimbit milik mangsa.

Mengulas lanjut beliau berkata, seorang pengurus kebun kemudian tampil membuat laporan polis pada 20 Disember sekitar 9.20 pagi memaklumkan seorang pekerjanya warga Bangladesh cedera akibat ditetak menggunakan parang dalam kejadian samun melibatkan enam lelaki di asrama di Jalan Kebus.

“Susulan kes samun ini, kita telah membuka kertas siasatan dan mengesan kesemua jenayah ini menggunakan modus operandi sama iaitu menyasarkan pekerja kebun warga asing yang tinggal di asrama di dalam kawasan pertanian itu.

“Polis Alor Gajah telah menubuhkan pasukan khas untuk memberkas suspek dan tangkapan berjaya dibuat membabitkan enam suspek termasuk seorang remaja 13 tahun pada 15 dan 16 Januari lalu,” ujarnya.

Arshad berkata, tiga daripada suspek mengakui terlibat dalam ketiga-tiga serangan itu bersama dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas, manakala tiga suspek lain dibebaskan tanpa syarat.

Jelasnya, ketiga-tiga suspek terbabit akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI