fbpx

Mahkamah: Suri rumah didakwa perdaya dua wanita untuk dapat barang mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya dua wanita untuk mendapatkan 109 barangan berjenama mewah antaranya Hermes, Louis Vuitton dan Rolex mencecah lebih RM1 juta, tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Kee Cel Ghen, 36, mengaku tidak salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Datin Sabriah Othman.

Mengikut semua pertuduhan, ibu kepada dua anak itu didakwa menipu dua wanita berusia 25 dan 31 tahun dengan memperdayakan mangsa dalam urusan mendapatkan 109 jenis barangan berjenama mewah.

Antaranya beg tangan jenama Chanel, Hermes, Louis Vuitton, jam tangan Rolex dan kemeja T jenama Dior.

Perbuatan itu telah mendorong dua mangsa menyerahkan wang masing-masing RM312,300 dan RM916,920 sedangkan mereka tidak akan berbuat demikian sekiranya mengetahui tidak akan memperoleh barangan itu.

Kesalahan itu dilakukan di dua rumah masing-masing di Taman Fadason dan Jalan Udang Rawa Taman Sri Segambut, di sini antara 2 Mei dan 18 Julai tahun lalu.

Justeru pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hanif Ahijman mencadangkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin manakala TPR Raihanah Abd. Razak pula mencadangkan ikat jamin RM200,000.

Bagaimanapun, wanita itu yang diwakili peguam, Muhamad Razman Sahat dan Syawal Razak merayu ikat jamin dikurangkan kerana tertuduh perlu merayu anak dan keluarga termasuk ibu bapanya yang uzur.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, kedua-dua mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh 29 Februari depan ditetapkan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI