fbpx

Fosil siput laut berusia 350 juta ditemui di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NAJWA menunjukkan fosil siput laut yang dianggarkan berusia 350 juta tahun di Kampung Changkat Tualang, Kampar hari ini.

KAMPAR – Penemuan fosil siput laut yang dianggarkan berusia 350 juta tahun di Kampung Changkat Tualang di sini dijangka mampu menjadi aset terbaru pelancongan di negeri ini.

Malah, kawasan bekas lombong seluas 6.9 hektar yang terletak dalam jajaran Geopark Lembah Kinta itu sebelum ini terkenal sebagai kawasan untuk aktiviti berkayak, penanaman jagung skala besar dan batuan kapur dalam kuantiti yang banyak.

Pengerusi Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak (Geonat), Siti Najwa Mokhtar, 39, berkata, namun, pihaknya mendapati batu-batu kapur yang terdapat di sini seakan-akan mempunyai fosil-fosil hidupan laut purba.

“Situasi itu menyebabkan kami melakukan rujukan jurnal termasuk menyelidiki rekod pengkaji lama sebelum ini.

“Hasilnya kami berjaya menemukan lebih tiga atau empat jenis fosil daripada kelas Gastropod, Rugosa, Crinoid dan satu lagi fosil karang.

“Dua minggu lalu, Penasihat Pakar Geopark Lembah Kinta, Prof Emeritus Dr. Mohd. Shafeea Leman dan pengkaji fosil dan geologi tempatan telah mengesahkan penemuan fosil itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Siti Najwa berkata, fosil-fosil itu ialah hidupan laut kuno zaman paleozoik yang wujud sebelum reptilia purba dinosour lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perak, Mohd. Azlan Helmi berkata, kerajaan negeri akan mewartakan kawasan penemuan fosil karang purba itu.

“Kawasan ini sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri dengan pencirian nilai sumber warisan saintifik, rekreasi, estetik dan sejarah untuk diangkat sebagai geoproduk pelancongan baharu.

“Kita perlu ambil langkah kawalan kerana rekod sejarah perkembangan bumi itu perlu dipulihara bagi faedah generasi akan datang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI