fbpx

Tindakan pantas halang minyak enjin cemar Sungai Linggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMINUDDIN meninjau LRA Sungai Linggi hari ini bagi mengetahui perkembangan laporan kejadian pencemaran minyak enjin,

SEREMBAN – Tindakan pantas beberapa agensi di negeri ini berjaya menghalang cecair berwarna hitam dipercayai minyak enjin daripada mengalir dan memasuki Sungai Linggi yang berpotensi menjejaskan operasi Loji Rawatan Air Linggi (LRA) Sungai Linggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSANS) menerima aduan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri berhubung pencemaran Sungai Linggi yang dikesan berpunca dari longkang di Kampung Bemban Hilir, di sini.

“Bertindak atas aduan, JAS Negeri Sembilan dan BKSANS, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains), Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis menggerakkan pasukan untuk membuat pengesanan dan mengenal pasti punca.

“Tindakan pantas agensi-agensi ini berjaya mengesan dan menghalang aliran cecair dipercayai minyak enjin dari memasuki Sungai Linggi. Jika tidak dilakukan berkemungkinan ia akan menjejaskan operasi LRA Sungai Linggi dan 47,000 pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan perkembangan laporan pencemaran Sungai Linggi di LRA Sungai Linggi.

Aminuddin itu memberitahu, proses persampelan air telah dibuat agensi berkaitan bagi tujuan siasatan dan tindakan perundangan.

“Setakat pukul 8 pagi tadi, LRA Sungai Linggi masih beroperasi pada kapasiti 100 peratus,” katanya sambil memberitahu kes pencemaran sumber air tersebut juga sedang disiasat agensi  kerajaan terlibat. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI