fbpx

K2

Pancutan air 3D pertama di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Watak Jeff dan beruang matahari yang menjadi sorotan utama dalam pertunjukan itu.- AMIR KHALID

Persembahan muzikal sepanjang 120 meter (m) di 99 Wonderland Park Wildlife in the City yang mengandungi efek tiga dimensi (3D) dan laser selama 30 minit berjaya memukau pengunjung dengan penceritaan yang ditunjukkan menerusi tarian pancutan air.

Selain menjadi pancutan air terpanjang di Malaysia, taman rekreasi terletak di Selayang, Selangor ini tidak hanya menawarkan keunikan visual yang menakjubkan tetapi juga mempersembahkan pengalaman yang luar biasa melalui sentuhan muzik antarabangsa.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan JL99, Datuk Seri Jeff Lee berkata, persembahan pancutan air yang ditampilkan pada kali ini lebih unik berbanding sebelumnya.

“Bagi pancutan air pada kali ini, kami telah menambah elemen baharu iaitu efek 3D dan jalan penceritaan sekali gus memerlukan perbelanjaan sebanyak lebih RM5 juta untuk penghasilannya.

“Saya boleh katakan ini merupakan penghasilan pancutan air 3D pertama di Malaysia kerana saya belum pernah melihat ia di mana-mana lagi,” ujarnya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Apabila ditanya mengenai asal usul inspirasi untuk menambahkan efek 3D dalam persembahan pancutan air, beliau menjelaskan bahawa rakan-rakannya di negara China yang memberikan idea tersebut.

“Meskipun saya berbelanja banyak untuk keseluruhan persembahan, saya sangat gembira dapat melihat pengunjung berseronok,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Jeff, persembahan memukau yang dipertontonkan kepada pengunjung pada hari itu sebenarnya baru mencapai tahap 91 peratus.

ANTARA elemen 3D yang dipertontonkan dalam pertunjukan pancutan air di Wonderland Park Wildlife in the City, Selayang baru-baru ini.

Beliau yakin bahawa projek ini akan siap sepenuhnya pada minggu hadapan dengan penambahan teknologi laser baharu dan meramalkan peningkatan signifikan dalam jumlah pengunjung dengan anggaran sebanyak 300 orang setiap hari.

“Sebenarnya, 99 Wonderland Park mempersembahkan dua jenis pertunjukan pancutan air.

“Pertunjukan pancutan air biasa dilengkapi dengan lagu-lagu menarik dan lampu berwarna-warni dan ia akan dipersembahkan dari Isnin hingga Khamis.

“Sementara itu, pertunjukan pancutan air 3D ini hanya akan ditayangkan setiap Jumaat hingga Ahad termasuk cuti umum,” katanya lagi.

Menurutnya, penceritaan efek 3D ini memfokuskan kepada empat jenis haiwan menarik iaitu beruang matahari, burung macaw, monyet capuchin dan rakun yang diuji dengan ancaman pemburu untuk merosakkan habitat alam semula jadi haiwan-haiwan itu.

“Namun, suasana cerita berubah apabila datang seorang watak manusia bernama Jeff yang muncul sebagai pahlawan untuk menyelamatkan haiwan-haiwan ini daripada ancaman yang mengancam kehidupan mereka.

“Jeff yang merupakan watak utama dalam cerita ini, memainkan peranan penting dalam membawa perubahan positif kepada kehidupan haiwan-haiwan tersebut.

“Cerita ini seiring dengan idea saya sendiri dan melibatkan unsur-unsur kepahlawanan dan perlindungan terhadap alam sekitar,” jelas beliau.

JEFF

Seramai 100 pengunjung yang hadir menyaksikan dengan penuh keterujaan persembahan pancutan air yang mencipta sejarah sebagai yang pertama di Malaysia itu.

“Saya tidak pernah membayangkan akan ada pertunjukan tarian muzik pancutan air di sini.

“Bagi saya, ini bukan sahaja satu kejutan, malah tarikan baharu yang sangat menarik, lebih-lebih lagi kerana di ibu negara sendiri terdapat beberapa lokasi untuk persembahan yang begitu hebat,” kata Nurul Huda, 32, yang berkongsi pengalamannya.

Kunjungan Nurul Huda ke taman itu bukan sahaja untuk menghabiskan hujung minggu bersama keluarga, malah menyaksikan persembahan yang luar biasa.

Vivian, 25, turut berkongsi bahawa persembahan pancutan air ini bukan sahaja menghiburkan, malah memberi peluang kepada penduduk ibu kota menikmati hiburan berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan.

Selain tarikan pancutan air, pengunjung juga berpeluang memberi makan pelbagai jenis haiwan liar seperti tapir, capybara, rusa, burung unta dan ikan arapaima gergasi serta banyak lagi.

Pengunjung juga boleh menikmati berbagai aneka hidangan yang dijual Restoran Makanan Laut 99 di situ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI