fbpx

Bekas Ketua Hakim Negara bakal jadi peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tun Md. Raus Sharif.

KUALA LUMPUR – Selepas hampir enam tahun meletak jawatan dalam badan kehakiman, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif bakal beralih karier apabila diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya, Rabu ini.

Firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dalam satu kenyataan media hari ini berkata, prosiding petisyen penerimaan masuk sebagai peguam bela dan peguam cara (long call) akan bermula pukul 9.30 pagi di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini.

“Tun Md. Raus akan dipakaikan jubah peguam pada upacara itu oleh bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin,” menurut kenyataan tersebut.

Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun pula akan mengusulkan kemasukan Tun Md. Raus sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Universiti Malaya memegang jawatan Ketua Hakim Negara selama 15 bulan bermula pada April 2017 dan meletak jawatan berkuat kuasa 31 Julai 2018.

Tun Md. Raus sebelum itu berjawatan Presiden Mahkamah Rayuan selama lebih lima tahun bermula September 2011 hingga April 2017.

Pada 2017, tempoh jawatan sebagai Ketua Hakim Negara dilanjutkan meskipun beliau telah mencapai umur persaraan mandatori hakim 66 tahun.

Tun Md. Raus memulakan karier dalam badan kehakiman sebagai majistret pada tahun 1976 sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 1994.

Pada tahun 1996, beliau dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi dan dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan, 10 tahun kemudian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI