fbpx

Polis fokuskan maklumat risikan sedia ada sebelum mulakan tangkapan – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zayn Rayyan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan maklumat risikan yang sedia ada bagi memulakan tangkapan terhadap individu yang mempunyai kebarangkalian tinggi suspek kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Langkah itu diambil hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sebelum ini dan menyasarkan keterangan yang 60 peratus menjurus ke arah pelaku.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan kes tersebut yang sudah mencapai 90 peratus membabitkan segala jenis bentuk siasatan termasuk saintifik dan konvensional.

“Sehingga malam ini juga pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) masih bermesyuarat (kes Zayn Rayyan). Laporan forensik (sampel diperoleh sebelum ini) masih belum diterima, tetapi dijangka berkesudahan negatif.

“Kita sekarang mengumpulkan risikan untuk memulakan tangkapan terhadap suspek (individu yang pernah diambil keterangan) yang kita mungkin percaya 50 peratus keterangan diambil menjurus ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Razarudin pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini. – Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

Untuk rekod, sepanjang kes ini dijalankan, PDRM telah merakam keterangan 225 individu, selain mengumpul 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) individu, namun tiada keputusan positif direkodkan.

Kata Razarudin, pihaknya tiada cadangan untuk mengulangi ujian patalogi, namun bergantung sekiranya ada tangkapan dilakukan dan keterangan baharu berkaitan kes itu.

Jelas beliau, laporan daripada Polis Antarabangsa (INTERPOL) yang sudah diterima hanyalah bersifat saintifik dan forensik.

“Ujian patologi pun kita tidak akan buat lagi melainkan terdapat maklumat baharu sekiranya ada tangkapan selepas ini,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi pihak polis berkaitan kes ini, Razarudin memaklumkan misteri motif pembunuhan yang perlu dirungkaikan pasukannya masih menjadi tanda tanya.

“Kita perlu melihat kepada motif, (contoh) sekiranya kes bunuh ini motif cemburu, pegaduhan berkumpulan kita tahu apa perlu dicari.

“Selagi kita tidak jumpa motif sebenar kita akan menyiasat secara menyeluruh. Siasatan daripada kawasan berdekatan dan sekarang kita sudah meluas, termasuk juga warga asing kita sudah siasat,” katanya.

“Pihak polis juga memohon masyarakat yang mempunyai maklumat berhubung kes ini disalurkan kepada pihak polis,” katanya.

6 Disember lalu, Zayn Rayyan yang dilapor hilang ditemui meninggal dunia di kawasan sungai berhampiran kediamannya pada pukul 10 malam.

Susulan itu, hasil penemuan bedah siasat pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 (bunuh) selepas menemui kesan kecederaan mempertahankan diri dan kecederaan pada bahagian leher mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI