CUACA nyaman pada pagi Ahad itu membuatkan wanita kelahiran ibu kota, Ng I Miin mahu menghabiskan masa dengan berjalan kaki di sebuah taman komuniti Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Menariknya, I Miin, 45, berjalan selama 20 minit di taman tersebut dengan berkaki ayam.
Tindakannya itu mencuri tumpuan beberapa individu yang sedang beriadah di taman itu memandangkan mereka tidak pernah melihat orang awam yang berjalan kaki di kawasan tersebut tanpa memakai kasut.
“Apabila di taman-taman, saya adakalanya akan didekati oleh beberapa orang awam yang hairan melihat tindakan saya yang berjalan sambil berkaki ayam di taman itu.
“Antara soalan mereka adalah tidak bahayakah dan bagaimana sekiranya saya terpijak sesuatu yang menyebabkan kaki saya terluka atau sebagainya,” kongsi I Miin kepada K2.
Jangan tidak tahu, wanita itu sebenarnya merupakan seorang pengamal rutin kaki ayam serta pakar dan perunding barefoot training atau latihan berkaki ayam di negara ini.
I Miin menerusi Instagram @miin.barefoottrainer dan akaun TikTok @klbarefoot kerap berkongsi foto-foto dan video dirinya berkaki ayam di kawasan awam seperti pusat beli-belah, stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan juga taman-taman komuniti.
Di era serba moden ini memang sukar untuk kita bertemu orang yang berkaki ayam di tempat-tempat awam.
Jelas I Miin, amalan itu dibuat sejak lebih 10 tahun lalu selepas dia mendapat tahu manfaat berkaki ayam dan membebaskan kaki daripada pemakaian kasut.
“Saya sebenarnya merupakan seorang yang aktif dalam bidang kecergasan sejak lebih 15 tahun lalu. Namun, ketika itu, fokus saya adalah aktiviti senaman dan kecergasan biasa yang menjadikan tubuh lebih langsing dan juga lebih berotot.
“Ketika itu juga, saya ada menghadapi beberapa masalah kesihatan, khususnya membabitkan bahagian lutut yang menyebabkan saya terpaksa menjalani pembedahan lutut sebanyak lima kali,” kongsinya.

I Miin kemudiannya berkenalan dengan seorang doktor dari Amerika Syarikat yang merupakan pakar latihan berkaki ayam dan juga corrective exercise bertujuan untuk memperbetul masalah kesihatan seperti sakit lutut dan sakit belakang.
“Saya mendapat pengetahuan baharu daripada doktor tersebut bahawa pemakaian kasut yang ketat dan dalam tempoh berpanjangan serta kasut yang tidak sesuai untuk kaki kita sebenarnya boleh menyebabkan masalah bukan saja pada bahagian kaki, malah boleh menyebabkan tekanan pada bahagian pinggul dan juga belakang badan.
“Justeru, saya menjadi tertarik untuk mengamalkan latihan barefoot ini yang merupakan salah satu bentuk corrective exercise dan mendapati sakit lutut saya mulai hilang,” jelasnya.
Semenjak itu, I Miin terus menjadikan amalan unik itu sebagai gaya hidupnya dan mula berjalan kaki tanpa memakai kasut di kawasan awam.
Manfaat berkaki ayam bukan hanya terhad kepada menghilangkan sakit belakang, tetapi ia juga sebenarnya membantu menguatkan lagi saraf pada bahagian kaki.
Kongsi I Miin, kaki mempunyai banyak urat saraf yang membantu tubuh kita menghantar signal kepada otak untuk memberi refleksi pada tubuh sekiranya kaki terpijak sesuatu yang tajam atau panas.
Aktiviti berjalan kaki tanpa memakai kasut dalam jangka masa yang lama mampu menguatkan saraf pada bahagian kaki.
“Sebenarnya, apabila kita sering ‘membalut’ kaki kita dengan kasut, lebih-lebih lagi dengan menggunakan kasut bertapak tebal, ia secara tidak langsung menjadikan saraf pada bahagian kaki lemah dengan lebih cepat.
“Kasut tapak tebal akan menyekat saraf kaki kita daripada menjadi lebih sensitif terhadap permukaan yang dipijak,” katanya.

Justeru, I Miin amat menggalakkan pembebasan kaki daripada pemakaian kasut secara berkala.
Ujar I Miin, dia tahu bahawa amalan itu tidak begitu praktikal di negara ini, namun ia boleh dibuat secara perlahan-lahan dan mengikut keadaan persekitaran.
“Saranan saya, mulakan di pejabat. Ketika waktu rehat misalnya, buka kasut anda buat seketika dan ambil masa untuk berjalan kaki dalam kawasan pejabat tanpa memakai kasut.
“Selain itu, semasa mahu pulang ke rumah, anda juga boleh mula berjalan kaki dari bangunan pejabat untuk ke tempat meletak kereta dengan berkaki ayam,” katanya.
Tekstur berbeza antara permukaan jalan dengan permukaan berumput juga menurut I Miin memberikan rangsangan yang cukup baik kepada kaki, sekali gus boleh menguatkan lagi saraf bahagian itu.
Kongsinya lagi, amalan itu juga tidak pernah menyebabkan kakinya terluka atau tercedera kerana selain menguatkan saraf kaki, berkaki ayam juga menjadikan minda I Miin lebih peka dan akan sentiasa memerhatikan keadaan sekelilingnya.
“Saya mendapati amalan ini juga menjadikan minda saya sentiasa dalam keadaan sedar dan saya lebih fokus.
“Anda perlu mencubanya terlebih dahulu dan anda akan nampak kesannya terhadap tubuh badan,” katanya.
Akui I Miin, memandangkan manfaat amalan itu kurang diketahui ramai, ia juga menjadikan tidak banyak penduduk di negara ini yang berkaki ayam sepertinya.
“Sejujurnya saya tidak mempunyai rakan yang boleh sama-sama diajak berkaki ayam ke tempat awam. Kebanyakan mereka yang mengamalkan barefoot training ini adalah dari luar negara,” kongsinya.
Seorang pengamal amalan berkaki ayam dari United Kingdom, Elizabeth Ward-Sing berkongsi, dia amat sukakan amalan tersebut dan sudah mulai melakukannya dengan lebih kerap.
“Saya kini sudah jarang memakai kasut dan tidak mempedulikan keadaan sekeliling atau sekiranya ada orang yang memperhatikan tindakan saya.
“Amalan itu banyak manfaatnya, malah ia juga lebih mudah dilakukan sekiranya anda tinggal di kawasan pantai atau hutan,” kongsinya.
Kongsi pengamal latihan barefoot di Santa Monica, Amerika Syarikat (AS), Achelya Feudo pula, amalan itu sesuatu yang kerap dilakukannya semasa tinggal di Australia.
“Ketika tinggal di Australia, saya kerap berjalan kaki ke pasar raya dan juga jalan-jalan kecil dengan berkaki ayam. Begitupun, selepas berpindah ke AS, saya berasa agak janggal untuk melakukannya,” katanya.














