fbpx

Cuepacs harap pelantikan Wan Ahmad segerakan kajian SSPA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan Mat

PETALING JAYA – Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap pelantikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mampu menyegerakan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, langkah itu perlu selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyegerakan pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah untuk penjawat awam.

“Selain meningkatkan mutu perkhidmatan awam, Cuepacs berharap beliau mampu mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan kakitangan kerajaan terutama melibatkan peringkat pengurusan tertinggi dan kumpulan pekerja sokongan.

“Cuepacs berharap hubungan yang baik antara pegawai tertinggi dan anggota terus dipupuk bagi memastikan kualiti perkhidmatan awam sentiasa dapat ditingkatkan selaras dengan kebajikan warganya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pihaknya juga menyeru kepada semua penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan demi Negara yang kita cintai.

“Hubungan antara kakitangan tidak kira jawatan haruslah dijaga dengan baik kerana kerjasama yang kukuh akan diterjemahkan melalui kualiti perkhidmatan yang cemerlang.

“Penjawat awam perlu menunjukkan profesionalisme melalui sikap dan tindakan yang mencerminkan integriti, kecekapan, dan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat,” katanya.

Adnan berkata, penjawat awam juga harus menghindari konflik kepentingan dan bertindak dengan kejujuran dalam setiap aspek kerja.

“Kecekapan dalam melaksanakan tugas dengan efisien dan efektif adalah penting apabila kita semua memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.

Dalam pada itu, pihaknya juga mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Zulkapli Mohamed atas segala sumbangan dan jasa beliau sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

“Jasa dan sumbangan beliau dalam perkhidmatan awam amat dihargai oleh Cuepacs terutama dalam menjaga perihal kebajikan penjawat awam dan pemerkasaan institusi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI