KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima watikah pelantikan tujuh ketua perwakilan asing ke Malaysia dalam Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan di Istana Negara hari ini.
Antara ketua perwakilan asing yang menghadap Seri Paduka Baginda ialah Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka, Dharshana Mahendra Perera; Duta Besar Maghribi, Majid Halim dan Duta Besar Panama, Nubiela Yanarith Ayala.
Turut menyerahkan watikah pelantikan masing-masing ialah Duta Besar Republik Liberia, Dudley McKinley Thomas; Duta Besar Serbia, Ivana Golubovic-Duboka; Duta Besar Republik Angola, Fernando Miguel serta Duta Besar Republik Niger, Zada Seidou.
Pada istiadat sama, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 15 ketua perwakilan Malaysia ke luar negara.
Mereka termasuk Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Rozian Abd. Ghani; Duta Besar Malaysia ke Singapura, Datin Anizan Siti Hajjar Adnin serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Dr. Azfar Mohamad Mustafa.
Turut menerima watikah pelantikan ialah Duta Besar Malaysia ke Austria, Datuk Fenny Anak Nuli; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Abu Bakar Mamat dan Duta Besar Malaysia ke Laos, Norli Muadza Mohd. Nor.
Selain itu, Ahmad Kamrizamil Mohd. Riza dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Oman; Sharon Ho Swee Peng ke Ireland; Datuk Amarjit Singh Sarjit Singh ke Finland; Fairuz Adli Mohd. Rozali ke Timor Leste dan Adlan Mohd. Shaffieq ke Turkiye.
Turut menerima watikah ialah Suresh Kumar K. Rengasamy sebagai Duta Besar Malaysia ke Chile; Anwar Udzir ke Lubnan; Rafedah Abdul Aziz ke Uzbekistan dan Aznifah Isnariah Abdul Ghani ke Azerbaijan.
Hadir sama pada istiadat itu ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin serta Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Dr. Azmi Rohani.- KOSMO! ONLINE.














