fbpx

Elsa sakit tulang punca terlalu kurus di Zoo Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARIMAU Putih Bengal atau digelar Elsa menghidap penyakit berkaitan tulang sejak ia dilahirkan. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Harimau Putih Bengal dikenali sebagai Elsa yang tular dalam media sosial kerana didakwa terlalu kurus oleh pengunjung Zoo Melaka baru-baru ini sebenarnya menghidap masalah kesihatan berkaitan tulang.

Penjelasan itu dibuat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datin Sapiah Haron pada sidang akhbar di Zoo Melaka hari ini.

Menurut beliau, Elsa menghidap penyakit berkaitan tulang sejak ia dilahirkan dan memberi kesan kepada diet pemakanannya yang lebih sedikit berbanding harimau sihat.

“Kita mengambil Elsa pada 2019 ketika usianya sembilan bulan dengan berat badan 50 kilogram (kg). Selepas melalui diet pemakanan yang disediakan doktor haiwan, berat Elsa bertambah kepada 80 kg.

“Elsa bukanlah kurus kerana tidak diberikan makanan, tetapi seleranya kurang disebabkan penyakit tulang dihidapi dan keadaannya setiasa dipantau termasuk oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.

Ujarnya, Elsa diberi makan lima kilogram ayam setiap hari, tetapi haiwan kacukan itu hanya menikmati kira-kira 80 peratus daripada hidangan tersebut.

“Kita menjaga Elsa dengan penuh kasih sayang, namun dia tidak sihat seperti harimau lain yang makan lima hingga tujuh kilogram sehari.

“Bagi mengelakkan spekulasi keadaan Elsa berlarutan, pihak Zoo Melaka akan meletakkan maklumat kesihatannya di papan paparan info supaya pengunjung dapat memahami situasi sebenar,” katanya.

Sapiah berkata, Zoo Melaka mempunyai sebanyak 12 ekor harimau iaitu empat Harimau Malaya, Bengal (satu), sepasang singa dan Harimau Kumbang enam ekor.

Tambahnya, jumlah keseluruhan spesies di Zoo Melaka adalah sebanyak 300 dan lebih 600 ekor haiwan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI