fbpx

Wanita China pura-pura histeria elak dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara yang ditahan dalam operasi itu di Kampung Jalan Kebun, Klang.

KLANG – Helah seorang wanita warga China berpura-pura diserang histeria dan mengaku sebagai pelancong gagal apabila dicekup menerusi Op Bersepadu Pintas di sebuah kilang kitar semula barangan elektronik di Kampung Jalan Kebun di sini, semalam.

Wanita berusia 30-an antara 101 orang yang ditahan menerusi operasi pukul 5 petang yang dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketika serbuan, wanita berkenaan yang berada di bilik pejabat kilang itu dilihat panik sebelum kononnnya mahu pengsan dan muntah.

Namun, dia yang mendakwa melancong di premis itu kembali tenang selepas beberapa minit sebelum proses dokumentasi dijalankan.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan mendapati kilang itu tidak mempunyai lesen perniagaan dan dipercayai beroperasi lebih setahun.

Katanya, turut ditahan melibatkan lelaki tempatan berusia 60 tahun iaitu pemilik tanah yang menyewakan kepada warga China bagi operasi kilang tersebut.

“Operasi khas itu berjaya menahan seramai 101 orang termasuk empat wanita yang berusia 18 hingga 39 tahun.

“Mereka terdiri daripada 19 warga China, Myanmar (10), Bangladesh (61), Nepal (2) dan Kemboja (8),” katanya hari ini.

Serbuan itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Difahamkan, semua pekerja asing yang digajikan hanya diberikan tempat tinggal yang kotor dan sempit.

“Seorang pekerja iaitu lelaki warga Myanmar berusia 16 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi turut berjaya diselamatkan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Atipsom 2007 selain Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c), Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(c) akta sama,” jelas Soffian. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI