fbpx

Surau Al-Amin anjur kempen 7 saf solat berjemaah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aktiviti gotong-royong turut diadakan bagi mengeratkan lagi silaturahim bersama kariah di surau berkenaan.

KAJANG – Surau Al-Amin, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini melancarkan Kempen 7 Saf Solat Berjemaah bagi menggalakkan ahli kariahnya memenuhkan saf di surau berkenaan.

Menurut Pengerusinya, Bahrim Ismail, idea kempen itu diinspirasikan daripada kisah kejayaan solat berjemaah ‘meriah’ seumpama solat Jumaat di Masjid Temerloh Jaya, Pahang.

Katanya, pihak pengurusan surau sesi 2024-2026 berhasrat mencontohi masjid tersebut dengan melancarkan kempen khas di samping pelbagai program.

Bahrim ketika ditemui Kosmo! di Surau Al-Amin hari ini. FOTO-FAIZ ALIF ZUBIR

Jelasnya, surau berkenaan lazimnya boleh memenuhi ruangan surau dengan kapasiti mencecah lebih 1,300 orang ketika solat Jumaat, namun jemaah yang hadir pada waktu lain sekitar tiga saf sahaja.

“Jika solat subuh dan zuhur, pada kebiasaannya surau ini diisi tiga saf atau hampir 150 orang. Kami berharap trend berjemaah begini bertambah dengan kempen yang ingin kita laksanakan,” katanya ketika ditemui Kosmo!, hari ini.

Bahrim berkata, pada hari ini pihak surau telah memulakan usaha dengan mengadakan aktiviti gotong-royong untuk mengeratkan lagi silaturahim bersama kariah di surau berkenaan.

“Kami bermula dengan aktiviti sembelihan seekor lembu pada sebelah pagi dan gotong-royong memasak waktu petang, manakala jamuan selepas solat isyak.

“Turut diadakan sesi kuliah khas maghrib disampaikan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Fauzi Mustafa yang juga merupakan penduduk kawasan ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN