BANGI – Adik bongsu kepada Allahyarham Khairul Ikhwan Mazupi bersetuju untuk menjaga dua anak saudaranya yang terselamat dalam kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara pada 23 Disember lalu.
Perkara itu dimaklumkan datuk kepada kedua-dua kanak-kanak itu, Datuk Mazupi Abdul Rahman, 64, ketika ditemui di Bandar Baru Bangi semalam.
Bagaimanapun, Mazupi menjelaskan dia sendiri akan mengambil tanggungjawab menguruskan kedua-dua cucunya buat masa ini memandangkan anak bongsunya itu bekerja di Damansara.
“Tahun depan saya sudah 65 tahun, setakat mana sahaja kudrat orang tua ini. Jikalau budak-budak ini dah pulih nanti, banyak perkara yang perlu diuruskan seperti persekolahan dan sebagainya.
“Saya boleh buat tapi takut terabai atau teraniaya. Jadi, kena ada bantuan supaya benda ini berjalan lancar sebagaimana mak ayah dia ada,” katanya.
Menurut Mazupi, anak bongsunya Aliff Luqman, 25, yang akan melangsungkan perkahwinan pada pertengahan tahun hadapan bersedia untuk membantu menguruskan kedua-dua anak arwah abangnya itu.
“Dia nak kahwin tidak lama lagi dan bakal isterinya juga sudah bersetuju untuk menjaga kedua-dua anak arwah. Setakat ini, dia yang bersetuju untuk berulang-alik ke Bangi kerana Muhamad Uwais Al-Qarni bersekolah di sini,” jelasnya.














