PETALING JAYA – “Kami akan menunggu sehingga proses rawatan (pelaku) dan siasatan polis selesai sebelum mengambil tindakan seterusnya bagi menuntut keadilan terhadap arwah Asiah.”
Demikian kata bapa saudara kepada Asiah Ahmad Syahir, 5, yang maut dalam kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di Jalan Kuching, di sini, kelmarin.
Muhammad Amin Mohamad Nor Izam, 25, berkata, pihak keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung kemalangan yang meragut nyawa anak sulung abangnya itu.
Menurut lelaki itu, abangnya, Ahmad Syahir, 30, sudah memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak polis.
“Setakat ini, tindakan belum dapat dibuat kerana pemandu yang terlibat (kemalangan) masih menerima rawatan di hospital,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Ceritanya, ketika kejadian, abangnya bersama isteri dan dua anak mereka termasuk Asiah dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sungai Pencala selepas bersiar-siar di Keramat.
Ahmad Syahir yang bertugas sebagai bilal bergegas pulang untuk melaungkan azan Asar.
“Bagaimanapun, berlaku kemalangan ketika mereka dalam perjalanan pulang. Asiah meninggal dunia, manakala seorang lagi anak buah saya yang berusia dua tahun terselamat,” ujarnya.
Mengulas mengenai keadaan keluarganya, Amin memberitahu, mereka berada dalam keadaan trauma dan diselubungi kesedihan.
“Abang, kakak ipar dan anak bongsu mereka alhamdulillah selamat tanpa sebarang kecederaan serius, cuma lebam dan luka ringan. Namun, emosi mereka masih belum stabil selepas kehilangan Asiah,” ujarnya.
Amin berkata, Asiah yang merupakan cucu sulung begitu rapat dengan seluruh ahli keluarga dan sering berhubung menerusi panggilan video.
Katanya, arwah Asiah merupakan seorang kanak-kanak yang sangat ceria, petah berkata-kata, bijak dan sentiasa mendengar cakap.
“Kira-kira dua minggu lalu, arwah baru keluar dari wad selepas terjatuh di tandas. Kali terakhir kami bertemu selepas dia keluar hospital. Itu kali terakhir saya bermanja, memeluk dan bermain dengan Asiah,” katanya.
Asiah disahkan meninggal dunia akibat cedera parah di kepala ketika dibawa ke Hospital Kuala Lumpur selepas kereta Perodua Bezza yang dinaiki bersama keluarga terbabit dalam kemalangan pada pukul 3.44 petang.
Nahas yang berlaku di Jalan Kuching menghala ke Segambut itu membabitkan lima buah kereta dan sebuah motosikal ketika aliran trafik bergerak perlahan.
Siasatan awal polis mendapati Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun dilanggar dari arah belakang oleh kereta BYD Seal sebelum kenderaan itu berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














