fbpx

Wanita didakwa campak kucing hingga mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mencampak seekor kucing hingga mati dari tingkat satu sebuah flat di Cheras, bulan lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Nina Norhaslinda Mazlan, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan secara tidak munasabah mencampakkan seekor kucing dari tingkat satu sehingga menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap kucing itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di koridor tingkat satu hadapan sebuah unit rumah pangsapuri di Cheras di sini pukul 7.35 pagi pada 25 Disember tahun lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(c) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang boleh dihukum di bawah seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu semasa prosiding pendakwaan Pegawai Pendakwa Fadzilah Abdul Karim dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Bagaimapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana dia hanya seorang suri rumah dan tidak mempunyai pendapatan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Norina kemudian membenarkan tertuduh diikat RM10,000.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Februari ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI