fbpx

Jalan Gua Musang-Kuala Krai banyak ‘makan’ duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Gua Musang yang berlubang dan berlopak semasa musim hujan.

GUA MUSANG – Pengguna jalan raya di laluan Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, berdepan risiko kemalangan dan kerosakan kenderaan terutama pada musim hujan apabila keadaan permukaan jalan raya yang berlubang-lubang dan pecah.

Tinjauan Kosmo! di sepanjang laluan lebih 80 kilometer bermula dari bandar Gua Musang hingga ke sempadan daerah Kuala Krai-Gua Musang, terdapat lebih 100 kerosakan termasuk jalan lubang.

Keadaan itu berisiko tinggi menyebabkan tayar kenderaan mudah pecah dan berlaku kemalangan di kawasan tersebut.

Seorang pengguna, Hafizee A. Hamid, 46, berkata, dia bersama isteri dan dua anak pernah berdepan situasi cemas selepas tayar hadapan kereta jenis Volks­wagen Passat CC yang dia pandu pecah akibat termasuk ke dalam lubang di tengah jalan.

Katanya, ketika itu, dia dan ahli keluarga sedang dalam perjalanan melalui Jalan Gua Musang-Kuala Krai untuk pulang ke rumah di Kuala Lumpur.

“Kami terkejut sebelum memberhentikan kereta di tepi jalan. Saya lihat tayar sudah pecah, rim pula rosak sehingga terpaksa menunggu lori tunda,” katanya.

Tambahnya, kejadian itu me­nyebabkan dia rugi lebih RM2,000 kerana terpaksa menukar rim dan tayar baharu.

Seorang pemilik bengkel, As­zeri Awang, 35, berkata, lebih 60 kenderaan mengalami tayar bocor ketika melalui jalan itu sepanjang tempoh dua minggu musim cuti persekolahan ini.

Katanya, ia menyebabkan dia membuka operasi bengkel ­selama 24 jam setiap hari.

“Saya menerima panggilan dari­pada mereka yang menga­lami masalah tayar bocor sepanjang laluan itu hampir setiap hari.

“Kebanyakan mangsa terlanggar jalan berlubang semasa tiba di laluan Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Paloh, Felda Chiku­ dan Kem Semur,” katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim berkata, beliau berharap pihak berwajib dapat membaiki kerosakan jalan termasuklah menampal lubang-lubang yang berbahaya.

“Saya akan membuat aduan rasmi kepada Menteri Kerja Raya selepas saya dapatkan beberapa kes kemalangan yang melibatkan struktur jalan tersebut dalam masa terdekat.

“Jadi, pengguna jalan raya ­perlu berhati-hati semasa memandu terutamanya pada waktu­ hujan kerana masih banyak struktur jalan yang berlopak dan berlubang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI