fbpx

Ainur Saafiqah, Vijaya menang Gemas Warriors Challenge 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara peserta pertandingan Gemas Warriors Challenge 2023 yang berlangsung di Gemas Golf Resort, Tampin, Negeri Sembilan baru-baru ini.

PETALING JAYA – Kekuatan merintasi lima rintangan membantu wakil tuan rumah, Ainur Saafiqah Azmi dan R S Vijaya untuk menamatkan larian dengan cemerlang bagi kategori lelaki dan wanita dalam kejohanan Gemas Warriors Challenge 2023 di Gemas Golf Resort, Tampin, baru-baru ini.

Ainur Saafiqah, 21, serta Vijaya, 17, muncul sebagai juara dengan catatan masa masing-masing 35 minit dan 20 minit, sekali gus membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM500 setiap seorang.

Menurut Vijaya, dia merasakan pertandingan tersebut sangat mencabar tetapi tetap puas kerana berjaya melepasi setiap halangan yang perlu ditempuhi oleh peserta.

“Keputusan untuk menyertai acara ini pada saat-saat akhir ternyata berbaloi dan berharap agar pertandingan ini terus dianjurkan pada masa akan datang,” katanya.

Pertandingan Gemas Warriors Challenge 2023 anjuran Majlis Daerah Tampin (MDT) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) itu disertai lebih 400 peserta termasuk dari Johor, Terengganu, Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan juga Perak.

Setiausaha MDT, Zulhilmi Marzuki berkata, Gemas Warriors Challenge merupakan pertandingan berbentuk larian berhalangan yang mahu mencabar kekuatan fizikal dan mental para peserta apabila perlu melalui lima bentuk halangan sepanjang larian sejauh enam kilometer.

Katanya, sepanjang cabaran tersebut para peserta perlu mengharungi pelbagai cabaran termasuk berlari melalui trek tayar, laluan labah-labah, laluan berbukit, merangkak bawah jaring dan memanjat dinding.

“Pertandingan ini menjadi platform bagi para peserta untuk mencabar diri mereka terhadap aktiviti lasak seterusnya membina kekuatan fizikal.

“Aktiviti ini juga dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan Masyarakat tempatan bagi membantu membentuk keseimbangan dari aspek spiritual, mental, intelektual, pembangunan fizikal dan personaliti,” jelasnya.

Tambah Zulhilmi, pertandingan yang julung kalinya diadakan itu bertujuan mempromosikan sukan lasak, selain menarik lebih ramai pelancong domestik datang ke negeri itu khususnya daerah Gemas.

“Kami akan menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan dan bercadang menarik lebih ramai peserta dengan menawarkan hadiah yang lebih menarik tahun hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI