Seminggu dua ini, kecoh sikit negara kita apabila kes Covid-19 naik mencanak-canak.
Kelmarin kes aktif jangkitan adalah 23,038 orang dengan 22,011 telah menjalani kuarantin di rumah dan 979 orang bergejala teruk dirawat di hospital.
Setelah kes naik mencanak-canak kembali, kelam kabutlah orang ramai mula mencari aplikasi MySejahtera untuk siap-siaga declare diri masing-masing jika dijangkiti Covid-19 untuk mendapat lima hari cuti kuarantin.
Peliknya kenapa sebelum ini ramai yang sudah membuang aplikasi tersebut dalam telefon bimbit masing-masing padahal aplikasi itu sangat penting kerana rekod kesihatan dan vaksinasi kita ada dalamnya.
Sekarang barulah mencari-cari kata laluan MySejahtera sudahnya sehingga ke Menteri Kesihatan diciap untuk meminta pertolongan log masuk.
Dakwa mereka sudah banyak kali bertanya kepada admin MySejahtera dan admin media sosial Kementerian Kesihatan untuk urusan log masuk terlupa kata laluan tetapi tidak dilayan.
Macam-macam hal, sepatutnya aplikasi penting itu tidak perlu dipadam.
Selain itu, kelam kabut juga orang ramai mencari pelitup muka sehingga ada farmasi yang kehabisan stok, penulis harap tiada ada yang ambil kesempatan menaikkan harga seperti dua tahun lalu.
Telegram sekolah juga sudah menaikkan notis menasihatkan murid-murid menjaga kesihatan agar apabila buka sekolah dua minggu lagi tidak akan ada kluster sekolah pula.
Paling penting apabila kita balik ke kampung ini, jangan terus memeluk atuk dan nenek, kita kena mulakan balik prosedur operasi standard (SOP) membasuh tangan dan kerap mandi.
Nasihat penulis jika beli-belah di Pasar Payang atau Pasar Siti Khatijah nanti jangan lupa pakai pelitup muka, orang mesti ramai, jangan kita tinggalkan virus Covid-19 kepada atuk dan nenek di kampung dan membawa pulang ke sekolah dan pejabat awal tahun depan.
Bercuti dua minggu ke mana sahaja sekali pun, jangan kita lupa SOP terutama apabila berada dekat dengan golongan yang rendah imunitinya seperti orang tua, orang berpenyakit kronik dan pesakit kanser.
Jangan sayangkan mereka kita peluk dan cium mereka, ketika mereka sakit dijangkiti Covid-19 sehingga membawa mereka sakit sampai ke hospital. Jangan kita lupa bahawa angka pesakit Covid-19 yang maut masih ada sampai ke hari ini. Minta selisih.
Mungkin kita yang muda hanya sakit kepala dan demam sahaja apabila kena Covid-19 tetapi tidak kepada golongan komorbid kerana boleh sakit sampai ke unit rawatan rapi dan ditidurkan.
Ingatlah tragedi 2 tahun lalu, minta dijauhkan berlaku lagi kita lalai, orang lain merana.














