fbpx

Pokok tumbang: ‘Kami kehilangan tulang belakang keluarga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Shakif (gambar kecil) bapa kepada Hisyammuddin yang maut dalam kejadian pokok tumbang di jalan utama Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang, semalam.

AMPANG – “Dia (Hisyammuddin) tak pernah bantah apa kami cakap, hinggakan pakaian dan makan minum kami sekeluarga sekarang dia yang tanggung sekarang,” kata Ahmad Shakif Mohd, 52, pesara kerajaan yang juga bapa kepada Muhammad Hisyammuddin.

Semalam, Kosmo! melaporkan seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta disahkan maut dalam kejadian pokok tumbang di jalan utama Kampung Lembah Jaya Utara, di sini.

Mangsa yang meninggal ialah pemandu kereta dikenali sebagai Radin Abd Kharim Radin Mamfudz, 64, dan penunggang motosikal Muhammad Hisyammuddin Ahmad Syakif berusia 23 tahun.

Menceritakan semula tragedi tersebut, Ahmad Syakif berkata, keberadaan anaknya di lokasi kejadian adalah untuk memulangkan semula motosikal yang dipinjam dari salah seorang rakannya yang menetap di sekitar kawasan itu.

Tambah Syakif, gurauan dan sifat ceria anaknya isempat mewarnakan hari mereka sekeluarga sebelum Hisyammuddin keluar dari rumah mereka di Gombak sekitar pukul 3 petang untuk memulangkan semula motosikal terbabit.

“Pagi hari memang sangat normal dia boleh bergurau senda di rumah, tiada langsung tanda-tanda yang buat kita rasa risau tentang keadaan dia sehinggalah saya terima panggilan daripada kawan dia yang Hisyammuddin terlibat kemalangan maut.

“Saya lihat sahaja gambar keadaan motosikal yang masih dalam keadaan berdiri, saya terus dapat bayang bagaimana pokok besar itu timpa dia, tiba sahaja dekat hospital luluh jantung bila anak sulung saya maklum Hisyammuddin dah tiada,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Ahmad Syakif, dia reda dengan pemergian anaknya meskipun kehilangan tersebut sangat memberi kesan kepada pihaknya sekeluarga.

“Dia anak yang ceria, bertanggungjawab dan sangat manjakan adik dia walaupun dia anak ketiga dari empat adik beradik, pakaian dan makanan kami sekeluarga dia banyak bantu lepas saya bersara tiga tahun lepas.

Mengulas berkenaan tindakan susulan yang akan diambil akibat kemalangan itu, Ahmad Syakif berkata, dia perlukan sedikit masa untuk meneliti segala aspek yang perlu sebelum memulakan sebarang tindakan undang-undang.

“Saya dapat makluman memang ramai orang sudah buat aduan pokok yang tumbang itu sudah rapuh, ibarat tunggu masa untuk tumbang, tapi sekarang kami perlu selesaikan urusan arwah dahulu sebelum buat apa-apa tindakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI