fbpx

Bakal pengantin tekup muka nenek, samun gelang emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

MELAKA – Sepasang bakal pengantin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak seorang warga emas yang juga merupakan nenek kepada tertuduh wanita, dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Shahezaimie Kamarudin, 19, dan tunangnya, Nurul Sakina Ali Mohammad, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan dengan menekup muka dan mengambil seutas gelang tangan berwarna emas secara paksa dari Puan Che Ahmah Buang, 74.

Semasa melakukan perbuatan itu, tertuduh dengan sengaja turut menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 6.30 petang di sebuah rumah di Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Disember lalu.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh.

Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan Muhammad Shahezaimie hanya bekerja sebagai penjaga go-kart dan perlu menjaga ibunya yang menghidap strok, manakala Sakina seorang penjaga stor.

Difahamkan, pasangan itu merancang untuk melangsungkan majlis perkahwinan mereka pada Februari depan.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Darmafikri kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh beserta syarat tambahan kedua-dua mereka perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah sekali pada setiap bulan.

Beliau turut menetapkan tarikh 30 Januari depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun gagal membayar jaminan dan dibawa ke Penjara Sungai Udang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI