fbpx

Konflik Palestin-Israel: Penduduk Gaza gulung khemah, pindah lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Palestin melarikan diri ke Rafah, selatan Semenanjung Gaza kelmarin. - AFP

BANDAR GAZA – Penduduk Semenanjung Gaza yang khuatir terbunuh dalam serangan askar Israel sekali lagi mengemas barang dan melarikan diri ke selatan enklaf itu yang sudah sesak dengan orang ramai. 

Laman berita Middle East Monitor melaporkan, kebanyakan penduduk telah berpindah sebanyak tiga atau empat kali dalam masa kurang dua bulan.

Sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal, namun fasa baharu pemindahan selepas gencatan senjata tamat 1 Disember lalu memburukkan lagi situasi kemanusiaan.

Di Khan Yunis, selatan Gaza, orang awam yang mendapatkan perlindungan di kawasan Hospital Nasser dilaporkan menggulung khemah mereka dan memasukan barang ke dalam kereta.

“Kami bersiap sedia meninggalkan Khan Yunis menuju ke Rafah. Kami berada di sini selama kira-kira 50 hari,” kata seorang lelaki pertengahan umur, Abu Omar yang berteduh di kem itu bersama keluarganya.

Rafah merupakan salah satu kawasan terakhir yang masih tinggal, di mana tentera Israel membenarkan orang awam melarikan diri dari pertempuran, walaupun ia turut terkena banyak serangan udara.

“Tiada tempat selamat tetapi pada akhirnya, kami terpaksa menuju ke mana-mana tempat yang kami fikir selamat,” kata Abu ketika berdiri di tepi keretanya.

Bagaimanapun, penduduk yang sudah mendapatkan perlindungan di bandar Rafah mendedahkan mereka hidup dalam keadaan yang mengerikan.

“Tiada bilik air. Kami tidak dapat berwuduk untuk solat. Tiada bilik air atau tempat solat, tiada tempat untuk membasuh tangan anak. Tiada tempat untuk membakar roti atau mendapatkannya.

“Kami menghabiskan sepanjang malam mendengar bunyi roket dan bom. Kami berada dalam situasi antara hidup dan mati. Bila-bila masa sahaja boleh mati,” kata Enas Mosleh sambil air mata berlinang pada wajahnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI