JOHOR BAHRU – Kegiatan enam individu yang bekerja sebagai konco along yang aktif melakukan ugutan jenayah termasuk simbah cat dan serangan menggunakan molotov cocktail akhirnya tumpas selepas diberkas dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang, awal bulan ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, tangkapan dibuat susulan laporan seorang pesara lelaki berusia 52 tahun pada 7 April lalu selepas rumah miliknya di Taman Mount Austin di sini disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali.
Menurutnya, mangsa percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan penyewa rumahnya yang disyaki membuat pinjaman wang tidak berlesen di negara jiran.
“Bertindak atas risikan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dengan kerjasama IPD Kajang berjaya mengesan seorang suspek lelaki yang menaiki Perodua Bezza di kawasan Bangi, Selangor pada 9 April lalu.
“Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dengan merempuh pasukan polis sebelum melarikan diri, namun berjaya ditahan kira-kira pukul 11.30 malam di Cheras, Kuala Lumpur,”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini.
Ab Rahaman berkata, susulan penahanan itu, polis menjalankan serbuan di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur yang membawa kepada penahanan lima lagi individu menjadikan keseluruhan tangkapan seramai enam orang.
“Kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 21 hingga 42 tahun. Siasatan mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ujian air kencing juga positif dadah,”ujarnya.
Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sepucuk pistol bersama dua butir peluru hidup, enam helai kertas mengandungi tuntutan hutang serta sebuah kereta jenis Honda Jazz.
Kata beliau, siasatan mendapati suspek menerima bayaran sekitar RM600 bagi kerja simbah cat dan RM1,000 bagi melakukan serangan menggunakan molotov cocktail.
“Hasil siasatan juga mendapati kumpulan ini terlibat dalam sekurang-kurangnya 25 kes di beberapa negeri termasuk Johor, Selangor, Melaka, Perak dan Pahang melibatkan ugutan, khianat serta serangan berkaitan pinjaman wang tidak berlesen,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta beberapa peruntukan lain termasuk kesalahan memiliki senjata api dan penyalahgunaan dadah.
Tambahnya, polis kini bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran bagi mengesan dalang utama sindiket tersebut.-KOSMO! ONLINE














