fbpx

Genset rosak punca CIQ Tambak Johor bergelap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar klip video yang dikongsi di aplikasi TikTok yang memaparkan keadaan semasa gangguan bekalan elektrik di CIQ, Tambak Johor, semalam.

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan kejadian bekalan elektrik terputus di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Johor Bahru adalah berpunca daripada kerosakan pada sebuah genset (set generator).

Menerusi satu kenyataan TNB berkata, kerosakan tersebut adalah kejadian berulang dan alat berkenaan digunakan untuk memberi bekalan sementara elektrik di bangunan CIQ.

Ini kerana katanya, TNB telah melaksanakan kerja-kerja henti tugas bernotis bagi senggaraan berjadual pepasangan di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Gerbang Perdana 33/11kV, Johor Bahru bermula pada pukul 8 malam semalam sehingga awal pagi tadi.

“Ketika kerja-kerja dilaksanakan, bekalan elektrik sementara dibekalkan melalui 10 buah genset milik Bangunan Sultan Iskandar supaya tiada sebarang gangguan bekalan dalam tempoh tersebut.

“Siasatan mendapati berlaku kerosakan berulang pada sebuah daripada genset berkenaan yang digunakan untuk memberi bekalan sementara dan telah mengakibatkan gangguan bekalan di premis bangunan CIQ,”katanya.

Bagaimanapun kata TNB, bekalan elektrik telah dipulihkan sepenuhnya pada jam 9.13 pagi tadi.

Pada masa sama katanya, TNB mengambil maklum dengan cadangan Kerajaan Negeri Johor supaya mempertimbangkan
sumber alternatif bagi mengukuhkan lagi sistem bekalan elektrik ke kompleks CIQ seperti disuarakan oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan & Infrastruktur Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohammad Salleh.

“TNB juga bekerjasama rapat dengan pengurusan BSI bagi memastikan keterjaminan dan kestabilan bekalan ke kompleks berkenaan dan persekitarannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI