BESUT – Seorang lelaki diberkas bagi membantu siasatan kehilangan fius elektrik di premis-premis perniagaan di sekitar pekan Jerteh di sini yang disyaki mencuri.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, suspek berusia 43 tahun berjaya ditahan di sekitar pekan Jerteh di sini pada pukul 12.45 tengah hari, semalam.
“Hasil pemeriksaan berjaya menemukan lapan unit fius elektrik yang dipercayai dicuri suspek.
“Setakat ini, kita percaya telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes kecurian fius elektrik di premis-premis perniagaan di sekitar pekan Jerteh,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Rozaime berkata, sebelum ini, pihak polis banyak menerima aduan kecurian fius elektrik yang terdapat di luar premis perniagaan terlibat.
Beliau berkata, perbuatan suspek bukan sahaja sering menyebabkan gangguan bekalan elektrik malah menjejaskan operasi perniagaan peniaga berkenaan.
“Semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














