fbpx

‘Dah tamat, lima sekawan berdamai, tiada salah, tiada betul’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KES saman fitnah membabitkan Siti Nordiana terhadap lima sekawan iaitu Syura dan Lan Solo bersama tiga yang lain akhirnya berakhir dengan tiada pihak betul mahupun salah. - AFIQ RAZALI

PUCHONG – Selepas dua tahun lebih naik turun mahkamah berhubung kes saman fitnah membabitkan Siti Nordiana terhadap lima sekawan iaitu Syura dan Lan Solo bersama tiga yang lain akhirnya berakhir dengan tiada pihak yang betul mahupun salah.

Perkara itu dikongsi oleh peguam Azlan Abdul Razak dari Tetuan Azlan Razak Associates yang mengadakan sidang media atas permintaan Syura, Lan dan Shiela bagi menjelaskan mengenai keputusan yang dicapai secara bersama semalam.

“Tujuan sidang media ini ialah membetulkan persepsi awam berhubung kes yang berlangsung sejak 2021 dan bukan untuk mengkritik mana-mana individu.

“Kes ini sudah lupus (selesai) dan semua boleh meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa perlu naik turun mahkamah,” katanya dalam sidang media yang diadakan di kediaman Lan dan Sheila di Kampung Sri Aman di sini.

Tambah Azlan, keputusan yang dicapai itu berdasarkan tiga terma yang dipersetujui kesemua pihak defendan dan plantif iaitu pertama, tiada apa-apa pengakuan siapa betul atau salah kerana masing-masing sudah bersetuju untuk meminta maaf dan memaafkan.

Kedua, plaintif tidak mempunyai kebebasan untuk failkan semula kes fitnah ini di atas dasar yang sama.

Ketiga, tiada sebarang perintah mahkamah untuk mana-mana pihak membuat sebarang pembayaran dan kos.

Sementara itu, Lan berkata, dia dan rakan-rakannya menyambut baik keputusan yang dicapai semalam dan meneruskan hidup serta kerjaya seni masing-masing.

“Alhamdulillah semua sudah selesai dan memang ini yang kami cadangkan sejak peringkat awal semasa proses mediasi namun tidak mencapai kesepakatan ketika itu,” katanya.

Syura menambah, pihak mereka sentiasa bersedia untuk memohon maaf dan mengakui kekhilafan yang berlaku.

“Cuma apabila ada pembayaran yang terlalu tinggi dituntut membuatkan kami terpaksa teruskan ke mahkamah,” katanya.

Lan dan Syura yang buat pertama kali tampil memberi kenyataan berhubung kes saman tersebut, menjelaskan selama ini pihak mereka berdiam diri kerana menghormati mahkamah sepanjang kes berlangsung.

Kes saman fitnah RM2.5 juta dikemukakan penyanyi Siti Nordiana Alias terhadap lima sekawan iaitu penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya, Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 38, isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37.

Dua lagi ialah pegawai perhubungan awam syarikat rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.

Kelima-lima mereka disaman Siti Nordiana pada Julai 2021, selepas kelima-lima defendan telah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya dalam satu sesi siaran langsung dalam akaun Instagram masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI