fbpx

Tak jadi sambut anniversary, tayar kereta kena toreh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tayar kereta Saifulnizam ditoreh oleh individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Triang, Bera Sabtu lalu.

BERA – Hajat seorang suami untuk meraikan ulang tahun perkahwinan bersama isteri tercinta semalam bagaikan ‘dirompak’ apabila duit yang sepatutnya dibelanjakan untuk tujuan itu terpaksa digunakan untuk membeli dua biji tayar kereta selepas ditoreh individu tidak dikenali.

Saifulnizam Abd. Aziz, 34, berkata, dia terkilan apabila sebahagian duit sebanyak RM600 terpaksa dilaburkan ke tujuan lain angkara khianat.

Katanya, kejadian berlaku ketika isterinya meletakkan kereta di sebuah pasar raya di Triang pada Sabtu lalu untuk membeli barang pada pukul 6 petang.

“Apabila hendak balik, dia terkejut apabila mendapat dua tayar di depan dan belakang telah ditoreh. Dua buah kereta lagi menerima nasib sama.

“Penelitian rakaman litar tertutup (CCTV) di pasar raya itu menunjukkan suspek menaiki kereta Perodua Viva tetapi tidak nampak mukanya,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Saifulnizam, dalam keadaan sekarang di mana kos hidup meningkat dan ekonomi tidak menentu dia terpaksa pula mengeluarkan modal untuk membeli tayar baharu.

“Janganlah khianat orang macam ini. Bukan semua orang mampu tetapi saya terpaksa juga cari tayar baharu kalau kereta tidak jalan susahlah hendak cari rezeki,” katanya.

Tambahnya, dia juga me­nyambut ulang tahun perkahwinan dengan isterinya secara ala kadar sahaja.

“Saya telah membuat laporan polis kerana tidak mahu ia terjadi kepada orang lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, setakat ini pihaknya telah menerima empat laporan berkaitan kejadian yang sama di dua lokasi berbeza.

“Tiga laporan yang diterima berlaku di sebuah pasar raya terbabit, dan satu kejadian lagi di hadapan kedai dobi.

“Pemeriksaan pada tayar berkenaan mendapati ada kesan torehan pada bahagian tepi tayar dipercayai menggunakan objek tajam,” katanya.

Ujar Zulkiflee, pihaknya sedang meneliti rakaman CCTV untuk mengesan suspek dan mengenal pasti pemilik Pe­rodua Viva yang digunakan ketika kejadian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI