fbpx

PRK Kemaman: Kemenangan Pas tidak beri gambaran rakyat tolak Kerajaan Perpaduan – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin ketika sidang akhbar selepas Sambutan Setahun Madani dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks Setia Perkasa, hari ini. -Foto FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA – Kemenangan Pas dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman Sabtu lalu tidak memberi gambaran sebenar penolakan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia tidak memberi apa-apa isyarat kepada Kerajaan Perpaduan kerana dahulunya kerusi itu pernah dimenangi Pas pada pilihan raya lalu.

“Kawasan Kemaman itu dulu siapa menang…Pas kan? Baru ni (kelmarin) siapa menang…Pas. Jadi ia tiada nilai tambah la kan.

“Jadi tiada apa-apa (isyarat) kerana tiada bertambah apa-apa (tambahan kerusi kepada Kerajaan Perpaduan). Jadi kerana itu ia tidak beri sebarang isyarat apa-apa,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan sambutan Setahun KDN Madani dan Perhimpunan Bulanan KDN, di sini hari ini.

Katanya, isyarat sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan akan bertambah jika Barisan Nasional (BN) menang pada PRK Kemaman.

Saifuddin berkata, keputusan PRK menyaksikan Pas di bawah Perikatan Nasional (PN) berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut.

“Ini cuma bertukar wakil rakyat sebelum dan sekarang (kelmarin) penduduk disitu menangkan semula PN. Jadi, tiada isu apa-apa. Saya ucapkan tahniah atas kemenangan itu,” katanya.

Pas mengekalkan penguasaan di Parlimen berkenaan apabila calonnya Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 undi menewaskan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI