Menurut Khairul Shahril, kebanyakan mangsa banjir agak keberatan untuk keluar dari kediaman masing-masing atas pelbagai sebab. - Gambar hiasan

Ramai mangsa banjir enggan keluar rumah – KP Nadma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENCANA banjir merupakan antara musibah yang sering berlaku di Malaysia terutama di kawasan Pantai Timur semasa musim Monsun Timur Laut.

Hal ini sudah menjadi lumrah buat sebahagian masyarakat yang mempunyai kediaman di kawasan berpotensi banjir.

Bagi hal ehwal pengurusan bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memainkan peranan penting dalam memastikan operasi bantuan dan menyelamat dapat dilakukan dengan lancar.

Namun begitu, agensi tersebut turut terpalit dengan beberapa tohmahan berhubung kelewatan bantuan dan operasi yang tidak efisien.

Susulan itu, wartawan Kosmo! Ahad, GHAZALI ALIAS, menemu bual Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus untuk mengulas lanjut tentang isu berkenaan.

KOSMO! AHAD: Ketika ini, beberapa negeri terutamanya di Pantai Timur dilanda hujan lebat berterusan dan banjir. Sejauh mana kesiapsiagaan Nadma dalam menghadapi musim banjir?
KHAIRUL SHAHRIL: Pihak Nadma sentiasa bersiap siaga dengan hal ehwal berkaitan bencana termasuk banjir, sama ada dari segi pengurusan operasi atau aset bagi memastikan semua usaha-usaha membantu dan menyelamat mangsa dapat berjalan dengan lancar.

Pada masa sama, kita telah melakukan sesi penyelarasan dengan semua agensi terlibat untuk sebarang operasi menyelamat termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), badan bukan kerajaan (NGO) dan berapa pihak lain.

Ini bagi memastikan isu berkaitan pengurusan operasi dapat dibuat dengan sebaik mungkin, selain memahami tentang keperluan agensi masing-masing bagi mengelakkan isu pertindihan aset atau pergerakan operasi dapat diminimumkan.

Apakah persediaan awal yang telah dibuat oleh Nadma dalam menghadapi musim banjir yang dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan?
Kita telah melakukan persediaan lebih awal setiap kali musim Monsun Timur Laut dengan mengadakan beberapa siri latihan amal dan perbincangan bersama agensi-agensi penyelamat lain.

Ia bagi memastikan persediaan adalah yang terbaik.

Bagi musim banjir pada tahun ini, kita telah mengadakan program latihan dengan ketua-ketua Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah, di mana operasi menyelamat diselaraskan di pusat berkenaan.

Ia bagi memastikan mereka tahu apa yang perlu dibuat apabila berlakunya situasi menyelamat mangsa-mangsa banjir dan bencana.

Antara perkara penting yang diberi perhatian adalah memberi pemahaman kepada ketua-ketua polis di peringkat daerah dan negeri tentang peranan mereka sebagai komander operasi di lapangan apabila bencana.

Setiap tahun, banjir pasti akan melanda negara dan Nadma sentiasa terlibat membantu. Pada pandangan tuan, apakah prosedur operasi standard (SOP) yang perlu ditambah baik bagi melancarkan pengurusan banjir di negara ini?
Berhubung SOP, dari segi komplikasi, intensiti, kesukaran dan cabaran- cabaran baharu berkaitan pengurusan banjir, ia sentiasa berubah dan menjadi semakin rumit berdasarkan kepada perubahan iklim.

Sememangnya, SOP sedia ada ini perlu diperbaiki lagi untuk memastikan tahap kesiapsiagaan, kesediaan dan operasi dalam kalangan agensi-agensi dapat dibuat sebaik mungkin.

Oleh yang demikian, pihak Nadma bersama agensi-agensi lain sedang melihat bagaimana kita boleh memperbaiki lagi SOP sedia ada.

Sebahagiannya sedang diteliti oleh pihak kami dan agensi lain bagi memastikan apa jua tindakan yang diambil adalah selari dengan perubahan serta keperluan semasa.

Berdasarkan pengalaman yang dilalui, terutamanya apabila berlaku banjir besar pada 2021, terdapat beberapa perkara yang perlu ditambah baik untuk melicinkan pengurusan bencana negara.

Ketika Monsun Timur Laut, negeri di Pantai Timur akan diberi lebih perhatian. Bagaimanapun kawasan Pantai Barat turut dilanda hujan. Bagaimanakah persiapan Nadma di negeri Pantai Barat?
Pihak Nadma sebenarnya memberi penekanan kepada persediaan di seluruh negara, tetapi kita memberi perhatian lebih kepada negeri-negeri di Pantai Timur. Ini berpandukan kepada pola cuaca yang dikemukakan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Berdasarkan rekod lepas, apabila Monsun Timur Laut berlaku, kawasan yang dilanda banjir besar adalah di Pantai Timur dan bukan Pantai Barat.

Kemungkinan kawasan-kawasan di Pantai Barat Malaysia mengalami banjir besar pada ketika ini adalah kecil.

Bagaimanapun, dari segi persediaan, ia tetap dilaksanakan di negeri Pantai Barat.

Pada masa sama, kita juga telah mengenal pasti kawasan-kawasan ‘hotspot’ yang dijangkakan menerima taburan hujan lebih tinggi dan kawasan berkemungkinan banjir sepanjang musim monsun ini.

Apakah cabaran utama yang dihadapi oleh Nadma dan agensi penyelamat ketika pengurusan bencana banjir?
Cabaran utama kita adalah untuk memastikan orang ramai yang berada di kawasan yang sering dilanda banjir bersiap sedia untuk bertindak apabila diperlukan.

Kerap kali apabila berlakunya banjir, pihak berkuasa terpaksa memujuk mereka yang ada di kawasan ‘hotspot’ atau dilanda bencana untuk keluar dari rumah.

Ini kerana mangsa agak keberatan untuk keluar daripada kediaman masing-masing atas pelbagai sebab.

Jadi, ia merupakan cabaran utama kepada kami untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bagaimana mereka perlu bertindak jika berlakunya sesuatu bencana berdasarkan pengalaman lepas.

Ada juga masyarakat yang tidak begitu percaya tentang amaran dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutama mereka di kawasan jarang berlaku bencana.

Mereka lebih gemar menunggu sehingga saat-saat terakhir untuk keluar dari rumah masing-masing.

Kadangkala ia menyukarkan usaha menyelamat dan mungkin membahayakan nyawa atau harta benda mangsa.

KHAIRUL SHAHRIL (kiri) melihat sumbangan berupa keperluan rumah yang diberikan oleh NGO dan pihak korporat kepada mangsa banjir.

Kebanyakan mangsa banjir hanya menunggu bantuan daripada pasukan keselamatan untuk memindahkan mereka menggunakan bot dan sebagainya. Sebenarnya, apakah tindakan awal yang boleh diambil oleh masyarakat sebelum bantuan tiba?
Komuniti seharusnya memainkan peranan sebagai responder pertama dalam memastikan mereka tahu untuk bertindak balas apabila menghadapi sesuatu bencana tanpa menunggu bantuan kerajaan.

Kita percaya bahawa ia satu strategi yang paling efektif kerana komuniti lebih tahu keadaan dan situasi di kawasan tersebut.

Berdasarkan pengalaman dan pengetahuan berkaitan lokaliti masing-masing, mereka tahu di mana kawasan selamat apabila sesuatu bencana berlaku.

Pengetahuan masyarakat tempatan ini akan membantu mereka bertindak lebih awal sebelum bantuan tiba, sekali gus meminimumkan insiden tidak diingini.

Sebelum ini, terdapat rungutan bahawa agensi penyelamat lambat memberi bantuan untuk memindahkan mangsa banjir terutamanya isi rumah yang mempunyai orang kelainan upaya (OKU) atau warga emas. Apakah respons Nadma mengenai hal ini?
Dari segi bantuan bencana, pada saya, ia telah berjalan sebaik mungkin mengikut kemampuan agensi-agensi responder.

Hal ini terbukti apabila berlaku banjir pada musim Monsun Timur Laut, jumlah mereka yang terkorban disebabkan terperangkap di dalam rumah adalah kecil.

Ini antara lain disebabkan tindakan daripada pihak responder menyelamatkan mereka yang terkandas di rumah masing-masing apabila berlakunya bencana.

Hal ini turut dibantu menerusi kesedaran komuniti yang berpindah lebih awal sebelum situasi menjadi lebih kritikal. Ini membolehkan aktiviti menyelamat dapat dilakukan lebih cepat.

Sekiranya berlaku kelewatan bantuan, ia susulan maklumat yang diterima tidak tepat sehingga menyukarkan misi bantuan dan menyelamat.

Disebabkan itu, kita telah mengenal pasti mereka yang memerlukan perhatian khas semasa berlakunya banjir seperti OKU atau warga emas.

Setiap kali musim banjir, pasti ada nyawa yang melayang akibat lemas, terkena renjatan elektrik dan sebagainya. Justeru, apakah nasihat tuan kepada orang ramai pada musim banjir ini?
Dalam perkara ini, kesedaran komuniti berkaitan perkara yang perlu lakukan apabila berlakunya sesuatu bencana terutama banjir sangat penting.

Kita harapkan kesedaran masyarakat awam semakin meningkat apabila berlakunya sesuatu bencana.

Kita juga meminta supaya mereka prihatin terhadap arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa apabila berlakunya sesuatu bencana atau musim banjir.

Boleh tuan maklumkan berapakah jumlah aset yang sudah siap sedia digerakkan jika banjir berlaku di Pantai Timur?
Dari segi aset, ia disumbangkan oleh semua agensi responden dan jumlahnya kira-kira 23,994 unit.

Ia merangkumi kenderaan berat seperti lori sebanyak 1,562 unit, pacuan empat roda (1,771 unit) , bot penyelamat (2,137 unit), helikopter (28 unit) serta jaket keselamatan (18,498).

Bagi keanggotaan pula, kita mempunyai serami 61,839 orang dari semua agensi yang telah bersiap sedia di seluruh negara untuk menghadapi banjir pada kali ini.

Pada masa sama, kita telah melakukan kerjasama dan kefahaman antara agensi-agensi bagi membolehkan aset di kawasan tidak dilanda banjir digerakkan ke kawasan-kawasan bencana berdekatan.

Kita turut melakukan kerjasama bersama badan NGO, syarikat korporat dan persendirian untuk membolehkan aset-aset mereka dimobilisasikan sekiranya terdapat keperluan.

Nadma juga terlibat dalam pasca banjir melibatkan kerja-kerja pembersihan dan bantuan. Namun, ada pihak merungut bahawa bantuan diberikan lambat. Boleh tuan ulas hal ini?
Ada beberapa bentuk bantuan untuk mangsa-mangsa banjir.

Setakat ini, apa yang kita salurkan adalah bantuan wang ihsan sebanyak RM1,000 dan bantuan membaiki dan pembinaan semula rumah rosak.

Memang kita akui, terdapat kelewatan dari segi bantuan pasca banjir. Ia berlaku atas beberapa faktor yang melibatkan kesahihan permohonan dan pengesahan melibatkan agensi-kerajaan seperti hal ehwal tanah serta pemilikan.

Bantuan ini mungkin tidak setimpal dengan kerugian dialami. Kita perlu ingat bantuan wang ihsan ini bukan untuk pampasan, tetapi bagi meringankan beban mangsa.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN