fbpx

KPM sedia garis panduan calon SPM hadapi banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FADHLINA diperkenalkan kepada pemain dari pasukan SMK Taman Desa (Akademi JDT U17) oleh Alauddeen Aliff pada perlawanan akhir merebut Piala KPM FAM di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru malam semalam.

JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa tidak ada pelajar yang bermasalah untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula Selasa ini (5hb) disebabkan banjir.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM telah bersiap sedia dengan garis panduan yang ditetapkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir buruk di seluruh negara.

“Alhamdulillah, persiapan semua dalam keadaan sangat baik khususnya untuk cuaca, kesiapsiagaan kita dalam memastikan bahawa calon tidak akan terkesan dengan perubahan cuaca khususnya banjir.

“Insya-Allah, kita doakan semua calon berjaya dan akan dapat menjawab peperiksaan SPM dengan baik dan tenang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas aksi perlawanan akhir Liga Piala Remaja KPM-FAM 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), di sini malam semalam.

Seramai 259,668 calon bakal menduduki ujian Amali Sains bagi peperiksaan SPM tahun ini yang akan dilaksanakan pada 5 hingga 7 Disember ini.

Ini diikuti Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 8 hingga 11 Januari manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 17 hingga 23 Januari tahun depan, Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (29 Januari) dan Ujian Bertulis (30 Januari hingga 7 Mac).

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM telah merangka garisan panduan khusus buat calon SPM yang terkesan banjir sekiranya Monsun Timur Laut bertambah buruk.

“Seperti mana yang berlaku tahun lepas, apabila ada peperiksaan yang terpaksa dihentikan kerana terputus perjalanan dan sebagainya, jadi kita akan peperiksaan ulangan. Semua itu telah kita siapkan dalam garis panduan kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI