fbpx

Runtuhan Batu Maung: Pekerja asing tidak dicarum Perkeso, majikan berdepan tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang anggota bomba menunjukkan lokasi runtuhan rasuk di tapak pembinaan sebuah gudang logistik di Batu Maung, Bayan Lepas, semalam.

PETALING JAYA – Lima daripada sembilan pekerja asing yang terbabit dalam runtuhan tapak pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas, tidak mempunyai rekod caruman dan pendaftaran dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, hasil semakan terhadap empat pekerja asing (dua maut dan dua cedera parah), didapati mempunyai rekod pendaftaran dengan Perkeso, tetapi tiada
caruman sejak diambil bekerja antara tahun 2020 sehingga Julai 2023.

“Bagaimanapun, seorang lagi pekerja asing yang maut tidak mempunyai rekod pendaftaran dan caruman dengan Perkeso,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sehingga kini beliau berkata, semakan masih giat jalankan semakan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia serta agensi berkaitan, mengenai empat lagi pekerja asing yang dilaporkan tertimbus.

Kosmo! sebelumnya melaporkan, dalam kejadian runtuhan kira-kira pukul 9.58 malam kelmarin, tiga disahkan maut iaitu masing-masing dua di lokasi kejadian manakala seorang lagi ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Dalam masa sama Sivakumar menegaskan, pihaknya menerusi Perkeso akan mengambil tindakan perundangan terhadap majikan yang bertanggungjawab menggaji pekerja-pekerja asing berkenaan.

“Kegagalan majikan mendaftar dan membayar caruman pekerja asing itu jelas melanggari Seksyen 6, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Kegagalan mendaftarkan dan mencarum pekerja asing boleh didakwa mengikut Seksyen 94, Akta 4 yang membawa hukuman denda RM10,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang culas mendaftar dan membayar caruman pekerja asing, sekali gus menafikan hak perlindungan sosial mereka,” katanya.

Jelas beliau, semua pekerja asing termasuk yang berkhidmat sebagai buruh di sektor pembinaan telah pun diwajibkan mendaftar dan mencarum dengan Perkeso, berkuat kuasa 1 Januari 2020 lalu.

“Berdasarkan perangkaan setakat 31 Oktober lalu, lebih 1.88 juta pekerja asing dilindungi menerusi Skim Perlindungan Bencana Kerja mengikut Akta 4, dengan 4,566 insiden kemalangan membabitkan pekerja asing dilaporkan ke Perkeso.

“Bagaimanapun, jumlah liputan caruman bagi pekerja asing berbanding kemasukan tenaga buruh luar ke Malaysia menunjukkan masih ada segelintir majikan yang ingkar dalam mematuhi peruntukan Akta 4,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI