fbpx

Konflik Palestin-Israel: Penduduk Gaza diancam wabak penyakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah keluarga menyediakan makanan di tengah-tengah runtuhan rumah yang musnah dalam serangan askar Israel di Khan Yunis, 27 November lalu. - AFP

GENEVA, Switzerland – Lebih ramai penduduk Palestin berisiko meninggal dunia akibat wabak penyakit berbanding serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza yang terkepung sekiranya sistem kesihatannya kekal seperti keadaan semasa, demikian menurut amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) seperti dilaporkan laman berita TRT World kelmarin.

“Pada akhirnya, kita akan melihat lebih ramai orang mati akibat penyakit berbanding apa yang kita lihat daripada pengeboman jika sistem kesihatan tidak dipulihkan,” kata jurucakap WHO, Dr. Margaret Harris pada taklimat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.

Harris menyatakan kebimbangan mengenai peningkatan wabak penyakit berjangkit termasuk cirit-birit.

“Tiada bekalan ubat, tiada aktiviti vaksinasi. Tiada akses kepada air dan kebersihan yang selamat serta tiada makanan. 

“Kami menyaksikan bilangan kes cirit-birit yang sangat tinggi dalam kalangan bayi.

“Saya bertemu dengan ramai ibu bapa dan mereka tahu apa yang anak-anak mereka perlukan. Mereka tidak mempunyai akses kepada air selamat dan ia melumpuhkan kehidupan harian mereka,” katanya.

Awal bulan ini, WHO berkata, lebih 70,000 kes jangkitan pernafasan akut dan lebih 44,000 kes cirit-birit telah direkodkan di wilayah yang terkepung itu.

Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) sebelum ini memberi amaran bahawa kekurangan air minuman di Gaza menyebabkan orang ramai terpaksa minum air tidak bersih sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai penularan penyakit bawaan air.

Minggu lalu, Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, terdapat satu unit bilik mandi untuk setiap 700 orang dan satu tandas bagi setiap 150 orang di kemudahan PBB di kawasan itu.

Tambah Harris, keruntuhan sistem kesihatan Hospital Al-Shifa yang merupakan kemudahan perubatan terbesar di Gaza, adalah satu tragedi.

Ini diburukkan lagi apabila beberapa kakitangan perubatannya telah ditahan oleh tentera Israel semasa operasi pemindahan pesakit yang dilakukan WHO.

Jurucakap Agensi Kanak-Kanak PBB di Gaza, James Elder memberitahu pemberita bahawa hospital di Gaza itu penuh dengan kanak-kanak yang cedera akibat pengeboman askar Israel dan mengalami radang perut serta usus akibat minum air kotor.

Kira-kira 15,000 penduduk Palestin dengan lebih separuh daripadanya ialah wanita dan kanak-kanak terkorban dalam serangan askar Israel di Semenanjung Gaza yang bermula 7 Oktober lalu.

Pada Isnin lalu, Qatar mengumumkan bahawa pihak pengantara telah mencapai persetujuan untuk melanjutkan gencatan senjata kemanusiaan antara Israel dan Hamas dengan tambahan dua hari lagi. Ia sekali gus menawarkan penduduk Gaza satu lagi tempoh rehat selepas tujuh minggu terlibat dalam konflik.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyifatkan lanjutan gencatan senjata kemanusiaan itu sebagai ‘sekilas harapan dan kemanusiaan’ tetapi memberi amaran bahawa ia tidak cukup untuk memenuhi keperluan bantuan penduduk di Gaza.

“Saya sangat berharap gencatan senjata ini akan membolehkan kita meningkatkan lebih banyak bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang sedang menderita.

“Namun, kita sedar bahawa walaupun dengan jumlah masa tambahan itu, adalah mustahil untuk memenuhi semua keperluan dramatik penduduk,” kata Guterres kepada pemberita Isnin lalu.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI