REMBAU – Sebuah lokomotif jenis kargo tanpa muatan dari Port Klang menghala Ke Stesen Kereta Api Gemas terbakar di Kampung Ulu Chenong, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Pegawai Bomba Tinggi (PBT) II, Asnizam Kamberon berkata, sepasukan enam anggota bersama pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 11.55 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kebakaran lokomotif. Kemusnahan dianggarkan sekitar 30 peratus. Api berjaya dikawal kira-kira pukul 12.30 tengah hari dan padam sepenuhnya menggunakan tujuh unit alat pemadam pada peringkat awal jenis debu kering.
“Pemadaman seterusnya menggunakan kaedah pemadaman jenis (FOAM). Tiada mangsa di laporkan terlibat dan lokomotif tersebut akan di tunda ke Gemas,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Ujar Asnizam lagi, tiada mangsa dalam insiden berkenaan dan operasi ditamatkan pada pukul 2 petang.- KOSMO! ONLINE














