fbpx

20.3 peratus kenderaan tidak lepasi pemeriksaan berkala Puspakom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan Puspakom sedang melakukan pemeriksaan berkala pada sebuah lori.

SHAH ALAM – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mendedahkan sebanyak 20.3 peratus daripada lebih 1.4 juta kenderaan yang diperiksanya tidak melepasi pemeriksaan berkala.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mahmood Razak Bahman berkata, antara penyebab kegagalan itu brek, gelincir sisi, pelepasan asap, bahagian atas dan bawah kenderaan serta sistem suspensi kenderaan.

“Dari jumlah itu, kira-kira 296,000 buah kenderaan dapat dihindarkan dari berada di atas jalan raya untuk memastikan keselamatan awam.

“Ini terbukti dengan kejayaan pemeriksaan serta kepentingan dalam mencegah potensi kemalangan yang mungkin membawa kepada kemalangan jalan raya dan kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau bersama lebih daripada 30 ahli daripada Jawatankuasa Pemeriksaan Kenderaan Bermotor Antarabangsa (CITA) mewakili 11 negara bersidang dalam Persidangan Kumpulan Penasihat Serantau CITA (RAG) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Persidangan itu bertujuan untuk menekankan kepentingan usaha kolaboratif dalam menangani cabaran keselamatan jalan raya dan pelepasan asap dalam skala global.

Mahmood menjelaskan Pupaskom berjaya meningkatkan kecekapan dengan purata masa pemeriksaan kenderaan dapat dikurangkan kepada 37 minit, berbanding 60 minit direkodkan beberapa tahun lalu.

Tambah beliau, kejayaan ini menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) tanpa menjejaskan kualiti pemeriksaan.

“Komitmen syarikat selama tiga dekad terhadap kesaksamaan tanpa memihak dalam menjalankan pemeriksaan kenderaan secara bebas.

“Pada asasnya, setiap hari apa yang dilakukan oleh Puspakom dan ahli-ahlinya adalah bagi memastikan kenderaan yang selamat dan layak berada di atas jalan raya seterusnya melindungi pengguna jalan raya di negara ini,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI